Thursday, October 13, 2011

Zairo mahu rakan usah terlalu yakin


PEMAIN tengah T Team, Zairo Anuar Zailani tetap menaruh kepercayaan pasukannya berpeluang cerah untuk mara ke separuh akhir biarpun berdepan barisan muda Sabah pada pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu malam esok.

Menurut bekas pemain kebangsaan itu, keyakinannya berdasarkan kejayaan menundukkan lawan 2-1 pada suku akhir pertama dan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Selain itu , keyakinan ini juga ditambah rakan sepasukan yang berjaya menggalas tugas dengan berkesan dalam saingan peringkat kumpulan di samping motivasi berterusan daripada pihak pengurusan.


Dengan kelincahan penggempur utama, Indra Putra Mahyuddin dan pemain pinjaman dari MP Muar, Mohd Fitri Omar, Zairo optimis T-Team mampu ke separuh akhir.

Anak jati dari Kijal, Kemaman itu berkata, berdasarkan keputusan semasa, T-Team sudah berada satu kaki ke separuh akhir dan perlawanan malam esok bakal menyaksikan mereka melakar sejarah.

“Bagaimanapun, saya harap rakan sepasukan supaya tidak terlalu yakin dengan kelebihan yang ada sebaliknya memberikan fokus 100 peratus pada perlawanan malam esok kerana baki saingan masih ada 90 minit lagi.



“Andai tersilap langkah dan bermain sambil lewa, ia bakal mengundang padah kerana skuad lawan juga bersemangat memburu slot ke separuh akhir,” kata bekas pemain berusia 29 tahun itu.

Berdasarkan rekod pertemuan musim ini, T-Team yang dibarisi hampir keseluruhan bekas pemain kebangsaan, menang 3-0 pada perlawanan pertama Liga Super di Kuala Terengganu dan 3-1 di gelanggang lawan.


Zairo yang pernah mengecapi kejayaan merangkul piala berprestij itu ketika bersama Terengganu turut berharap rakan sepasukan tidak menganggap pertemuan itu mudah kerana barisan bimbingan jurulatih Justin Ganai pasti membuat rombakan pemain serta perubahan strategi untuk melakar kejayaan.

“Berdasarkan pengalaman dan prestasi terkini pemain T-Team yang berada pada tahap terbaik untuk melebarkan rekod kemenangan ke atas Sabah, namun harus diingat pertemuan di gelanggang lawan Isnin lalu kita dipaksa berkerja keras sebelum berjaya membawa bekalan ke Kuala Terengganu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...