Thursday, October 13, 2011

Kawal emosi menjelang pertemuan getir Kelantan, Terengganu esok


KOTA BHARU - Selepas mengalami kekalahan 1-3 kepada Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Isnin lalu, pertemuan Kelantan dan jirannya itu di gelanggang sendiri malam esok pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Bagi Kelantan, pertemuan di Stadium Sultan Muhammad IV itu bakal menentukan nasib mereka sama ada mampu meneruskan saingan bagi mempertahankan Piala Malaysia yang buat pertama kali digenggam selepas 89 tahun, atau 'menggantung kasut' dalam kejuaraan itu.

Mengambil kira keadaan perlawanan di Terengganu yang menyaksikan lima kad merah dilayangkan, maka kebimbangan kembali tercetus, mungkinkah keadaan lebih buruk berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV?

"Keadaan pasti panas, gocoh lagilah," itu antara reaksi seorang rakan mengulas kekalahan Kelantan tempoh hari dan mengambil kira perlawanan kedua suku akhir berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV.

Sememangnya, setiap aksi pasukan The Red Warriors di Stadium Sultan Muhammad IV akan mengundang kehadiran puluhan ribu penyokong 'wira merah' itu, yang pastinya membakar semangat para pemain untuk mencipta kejayaan dengan sorakan keramat 'Gomo Klate Gomo.'

Keadaan sama dan mungkin juga lebih luar biasa, dijangka berlaku pada perlawanan malam esok. Semua penyokong Kelantan ingin menyaksikan pasukan mereka layak ke peringkat seterusnya, seterusnya mengekalkan Piala Malaysia di bumi Cik Siti Wan Kembang ini.

Bola sepak di Kelantan ketika ini dikatakan pada kemuncaknya selepas mereka menjuarai Piala Malaysia, Piala Emas Raja-Raja tahun lalu dan terbaharu, Piala Liga Super.

Keghairahan meluap-luap peminat itulah yang menimbulkan sedikit kebimbangan kepada banyak pihak, berkemungkinan berlaku kembali kekecohan yang pernah mencalit 'noda hitam' dalam kalendar bola sepak negeri mahu pun negara.

Pastinya ramai masih ingat bagaimana rusuhan yang berlaku di Stadium Sultan Muhammad IV beberapa tahun lalu, menyebabkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berdepan tindakan denda dan tuntutan ganti rugi lebih RM100,000 selain stadium itu digantung daripada aksi Liga M sepanjang musim 2009.

'Keseronokan luar biasa' segelintir penyokong juga telah mengundang tanggapan negatif di kalangan peminat sukan bola sepak tanah air mengenai wujudnya sentimen samseng bola sepak di kalangan peminat setia pasukan Kelantan.

Tanggapan itu tentunya tidak benar. Justeru peminat setia The Red Warriors perlu menunjukkan contoh terbaik kepada dunia luar bahawa mereka merupakan kumpulan yang terdidik dan tidak mudah didorong oleh emosi yang meluap-luap sepanjang menyaksikan perlawanan tersebut.

Peminat setia Kelantan juga perlu menunjukkan bahawa mereka semakin matang dan kehadapan dalam memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka yang telah tersenarai antara pasukan terbaik di Asia.

Mengulas perkara tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fattah Mahmood berkata, para penyokong The Red Warriors sewajarnya menjaga akhlak mereka dengan memberikan sokongan paling hebat kepada pasukan, tanpa mencetuskan sebarang tindakan yang hanya memburukkan keadaan.

"Bagi penyokong, harus jaga akhlak, harus beri sokongan paling hebat dengan memberi sokongan yang merangsang, tidak mengherdik, menghentam. Saya yakin, penyokong umpama jurulatih di luar gelanggang.

"Sebagai seorang jurulatih, berilah tunjuk ajar kepada pemain, beri arahan yang baik kepada pemain supaya mereka rasa dihargai, disokong," katanya kepada Utusan Malaysia.

Abdul Fattah turut berharap, peminat setia Kelantan yang hadir ke stadium sama-sama saling ingat-mengingati antara satu sama lain dalam menjaga tindak tanduk mereka bagi memastikan perlawanan berlangsung dalam suasana aman.

Mengenai peluang Kelantan, beliau yakin skuad Kijang mampu mara ke Separuh Akhir seterus mempertahankan Piala Malaysia.

"Saya yakin, kita (Kelantan) ada peluang untuk kekalkan kejuaraan melihat kepada semangat yang ditunjukkan oleh para pemain," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...