Monday, October 31, 2011

Kim Swee masih buntu kesebelasan utama


SHAH ALAM - Seminggu menjelang aksi bola sepak Sukan SEA, pengendali skuad Bawah 23 negara, Ong Kim Swee masih lagi tercari-cari kesebelasan terbaik akibat masalah kecederaan pemain.

Menurutnya, dia masih belum dapat menilai secara keseluruhan skuadnya selepas menang 4-1 dalam perlawanan persahabatan Laos di Stadium Shah Alam semalam.

"Saya cuma dapat menilai keseluruhan pasukan sehingga skuad negara berlepas ke Jakarta hujung minggu ini," katanya selepas selepas perlawanan semalam.

Jelasnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum beraksi pada perlawanan pertama menentang Singapura Isnin, terutama perwatakan pemain yang sering memandang rendah keupayaan pasukan lawan.

"Seperti yang kita dapat lihat hari ini pemain memandang rendah keupayaan lawan, sehingga membolehkan mereka mendahului 0-1.

"Jika ini berlaku ketika kita menentang pasukan yang kuat, sudah tentu sukar untuk bangkit.

"Saya perlu memastikan pemain tidak mengulangi perkara yang sama pada Sukan SEA nanti," katanya.

Pada perlawanan semalam, Malaysia ketinggalan pada minit ke-20 hasil jaringan Sangvone Phinmmasen sebelum bangkit pada separuh masa kedua melalui gol pemain pertahanan, Fandi Othman pada minit ke-62 dan dua gol dihasilkan oleh Syahrul Azwari Ibrahim minit ke-72 dan ke-72. Gol keempat disumbangkan A. Thamil Arasu minit ke-82.

Perlawanan terpaksa ditamatkan beberapa minit awal kerana hujan lebat apabila pemain tidak dapat meneruskan permainan akibat air bertakung hampir setiap penjuru padang.

Kim Swee tidak dapat menurunkan beberapa pemain utama termasuk Gary Steven Robbat, Amer Saidin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor manakala Abdul Shukor Jusoh hanya sempat beraksi kurang 30 minit akibat kecederaan dan sebelum ditukar dengan Irfan Fazail.

Skuad Bawah 23 negara yang akan beraksi pada Sukan SEA, akan diumum Rabu ini dan dijangka berlepas ke Jakarta dua hari selepas pengumuman tersebut.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...