PEMAIN perancang, Mohd Safiq Rahim kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas disisihkan ketika Malaysia dibelasah 5-0 di tangan Australia dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, 7 Oktober lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu kembali mendapat perhatian ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal yang menyenaraikan 26 pemain untuk menjalani latihan pusat bermula 1 November ini bagi persediaan menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan India di Guwahati dan Kolkata pada 13 dan 16 November.
Safiq yang dijadualkan menjalani pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City bulan depan sebelum ini digugurkan atas alasan kemerosotan prestasi.
Ketika nama-nama seperti Mohd Aidil Zafuan Abd Razak, Mohamad Ashaari Shamsuddin, Abdul Hadi Yahaya, Abdul Manaf Mamat dan Shahurain Abu Samah kembali mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya, Rajagobal memutuskan untuk mengetepikan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat.
Ketiadaan Khairul Fahmi itu yang kini mempunyai komitmen bersama skuad Sukan Sea negara, memberi ruang kepada muka baru, G Jeevanathan dari Selangor.
Turut mencuri tumpuan dalam senarai pemain kali ini adalah penampilan pertama penuntut Universiti Teknologi Mara, Amir Ridzwan Tajudin.
Selepas kekalahan teruk kepada skuad Piala Dunia Australia sebelum ini, perlawanan antarabangsa berstatus A ini menjadi pentas terbaik untuk Rajagobal memburu kemenangan buat menyuntik moral Harimau Malaya sekali gus memperbaiki ranking negara.
Malaysia kini menduduki tangga ke-151 dunia, jatuh empat anak tangga selepas tumpas kepada Australia manakala India berada di ranking ke-160 dunia.
No comments:
Post a Comment