PERTEMBUNGAN dua musuh tradisi, Selangor dan Perak bagi saingan suku akhir Piala Malaysia edisi ke-90 di Stadium Shah Alam pada 10 Oktober ini sememangnya dinanti-nantikan ribuan peminat fanatik kedua-dua pasukan.
Ketika Gergasi Merah (Selangor) boleh mendabik dada dengan rekod juara sebanyak 32 kali, pencapaian Seladang (Perak) juga tidak kurang hebat apabila menjuarai piala berprestij itu sebanyak tujuh kali, sekali gus muncul pasukan ketiga terbanyak menjulang Piala Malaysia di belakang Singapura.
Tatkala Selangor kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2005, Perak sebaliknya dilihat lebih kempunan apabila kali terakhir muncul juara sedekad lalu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan berentap di pentas final adalah pada tahun 1972 apabila Gergasi Merah menundukkan Seladang 3-1 di Stadium Merdeka.
Masih kebal dengan rekod tanpa kalah pada edisi kali ini selain menerajui takhta Kumpulan A, keupayaan anak-anak buah Noorizan Bakar menempah slot ke suku akhir tanpa lima tonggak utama yang digantung perlawanan, sememangnya tidak boleh dipandang sebelah mata.
Episod berbeza begitupun menyelubungi kem Selangor yang terpaksa berhempas pulas sebelum muncul naib juara Kumpulan D, selain dilihat terkapai-kapai ditinggalkan bekas jurulatih, K. Devan di pertengahan jalan.
Mujurlah kredibiliti pengganti, P. Maniam berupaya menghadirkan keajaiban saat-saat akhir, sekali gus menyaksikan ‘Misi 33’ kembali membara.
Senario itu jelas mengundang keyakinan di hati Noorizan yang sebelum ini mengakui tidak melakukan apa-apa persediaan istimewa menjelang pertemuan menentang Selangor nanti.
Nada berbeza pula disuarakan Maniam yang lebih gemar merendah diri, selain mengakui Seladang sememangnya bukan calang-calang pasukan.
“Saya kena akui, Perak memang pasukan berstatus A berbanding Selangor ketika ini kerana memi- liki corak serangan pantas, ter- utamanya di bahagian sayap.
“Namun, ia bukan alasan untuk kami mengaku kalah sebegitu sahaja kerana sudah tentu kami ingin menang dengan jumlah jaringan yang besar bagi menjamin bekalan selesa ke Ipoh nanti (14 Oktober),” katanya kepada Kosmo!
Maniam memberitahu, moral pasukannya masih berada di tahap tertinggi walaupun tunduk 2-4 kepada skuad bawah 23 tahun kebangsaan dalam aksi persahabatan di Wisma FAM, Kelana Jaya petang kelmarin.
“Ketika ini, saya masih belum membuat keputusan sama ada mahu mengekalkan formasi 4-3-3 yang diperkenalkan sebelum ini, selain tidak pasti dapat menggunakan semula khidmat Khairul Anuar Baharom bagi memperkuatkan benteng lantaran masih belum cergas sepenuhnya,” katanya.
Kedua-dua pasukan yang beraksi secara timbal balik di suku akhir bakal berdepan antara fina- lis Piala FA musim ini, Kelantan dan Terengganu di peringkat separuh akhir kelak.
No comments:
Post a Comment