Tuesday, October 18, 2011
Elak sepakan bebas
KUALA LUMPUR - Terengganu harus waspada. Jangan beri peluang Safiq Rahim melakukan sepakan bebas pada perlawanan hari ini, jika tidak mungkin skuad Penyu bakal senasib dengan Perak yang tersungkur pada suku akhir.
Lantaran itu, pengendali Terengganu, Irfan Bakti mengingatkan pemain supaya tidak melakukan kekasaran terutama berhampiran kawasan penalti, bimbang terperangkap dengan taktik Selangor yang mungkin mengintai ruang mendapatkan sepakan percuma berhampiran pintu gol pada separuh akhir Piala Malaysia hari ini.
"Elak melakukan kesilapan dekat kotak penalti kerana ia boleh membuka ruang Selangor menjaringkan gol seperti mana mereka lakukan ketika bertemu Perak.
"Safiq Rahim semakin yakin menjaringkan gol menerusi sepakan bebas. Saya harap pemain berhati-hati ketika melakukan asakan ke atas pemain Selangor, jangan lakukan kesalahan yang tidak sepatutnya, " katanya.
Safiq menjaringkan dua gol awal Selangor pada perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam ketika menentang Perak, kedua-duanya melalui sepakan bebas menarik dari jarak 25 hingga 30 meter di samping turut menjadi punca kepada gol tunggal Rudie Ramli ketika menang 1-0 di Stadium Perak.
Sementara itu, Irfan lega kerana skuadnya tidak berdepan kecederaan serius selain kembalinya perancang utama, Ismail Faruqi yang pasti memberikan kesulitan kepada Selangor menguasai bahagian tengah dan pertahanan kiri, Mohd. Zubir Azmi.
Irfan tetap menghormati keupayaan Selangor sejak mendapat sentuhan P. Maniam, yang disifatkan memberi nafas baru kepada juara 32 kali Piala Malaysia itu.
"Semenjak Maniam membimbing Selangor, mereka bangkit dan merupakan sebuah pasukan pencabar, mereka bermain sebagai satu pasukan, jadi bukan mudah untuk mengalahkan mereka," katanya.
Di kem Selangor pula, Maniam melihat Terengganu bukan pasukan yang mudah dijinakkan, berdasarkan pencapaian hebat jaguh Pantai Timur itu pada saingan Liga Malaysia.
"Terengganu sebuah pasukan yang bermain secara menyerang dan mungkin antara paling bagus dalam Liga Malaysia. Ia dikendalikan seorang jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti.
"Keyakinan mereka sudah tentu berada pada tahap terbaik kerana baru sahaja menyingkirkan juara bertahan dan juara Liga Super, Kelantan pada suku akhir.
"Kami akan cuba berikan yang terbaik bagi mencari kemenangan di tempat sendiri esok, " katanya ketika dihubungi semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment