Saturday, October 8, 2011

T-Team yakin benam Sabah


MEMILIKI hampir keseluruhan pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan bukan jaminan buat T-Team mendabik dada apabila berdepan Sabah sebaliknya skuad kendalian Yunus Alif itu tetap menghormati ancaman bakal diharungi pada pertemuan di suku akhir pertama Piala Malaysia, Isnin ini.

Penyerang, Mohd Nur Farhan Muhammad berkata, biarpun atas kertas, skuadnya mempunyai kelebihan berdasarkan pengalaman serta keputusan pertemuan sebelum ini tapi ia bukan jaminan mereka mudah menewaskan lawan.

“Pentas Liga Super dan Piala Malaysia dua saingan berbeza, lebih-lebih lagi pada peringkat suku akhir yang sudah tentu tempo permainannya juga berbeza. “Sebarang kesilapan pasti mengundang padah dan saya harap rakan sepasukan tidak memandang mudah keupayaan lawan.


“Selain itu, kepantasan pasukan lawan yang majoritinya pemain muda pasti membuatkan kami terjerat lebih-lebih lagi bermain di gelanggang mereka,” katanya.

Bagaimanapun, dia tetap optimis pasukannya mampu melangkah lebih jauh berdasarkan prestasi semasa selain motivasi berterusan diberikan jurulatih dan pengurusan. Sementara itu, Yunus berharap pemainnya mampu membawa pulang bekalan selesa ke Kuala Terengganu biarpun menyedari lawan bukan pasukan yang mudah ditewaskan.

“Saya harap pemain tidak memandang mudah keupayaan lawan kerana mereka pasti melakukan perubahan strategi bagi memerangkap T-Team,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...