MISI memburu tempat ke final sudah tercapai dan kini, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti (gambar kecil) mula memasang angan-angan untuk membantu pasukannya menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh sepuluh tahun.
Malah, keyakinan Irfan juga mula bertambah apabila impiannya untuk merasai nikmat final piala berprestij itu sebagai jurulatih sejak lebih 20 tahun lalu akhirnya tercapai.
Menurut Irfan, beliau tidak pernah merasai perlawanan akhir Piala Malaysia sejak bergelar jurulatih dengan pencapaian terbaiknya hanyalah ke separuh akhir ketika bersama Negeri Sembilan, Perlis dan Telekom Melaka.
Justeru katanya, beliau seharusnya memberi pujian kepada para pemain atas kerja keras yang ditunjukkan sepanjang musim ini sehingga membawa mereka ke puncak perlawanan pada 29 Oktober ini.
"Kami melalui musim yang cukup mencabar dan saya boleh katakan bahawa laluan kami ke final sangat berliku jika dibandingkan dengan Negeri Sembilan.
"Kami perlu berdepan juara bertahan (Kelantan) di suku akhir sebelum menentang Selangor dengan Misi 33 mereka pada separuh akhir.
"Namun, kami bersyukur kerana berjaya melepasi semua halangan ini dan sebab itu, para pemain saya berhak untuk berada di perlawanan akhir," jelas Irfan kepada Kosmo! semalam.
Pada perlawanan separuh akhir kedua kelmarin, Terengganu sekali lagi mempamerkan kelas tersendiri untuk menewaskan Selangor 2-1, sekali gus mara ke final dengan agregat 4-1.
Bagi Irfan, beliau secara peribadi begitu teruja untuk berada di pentas final Piala Malaysia musim ini kerana ia adalah peluang terbaik buatnya untuk melakar satu lagi sejarah peribadi.
"Apa lagi yang diimpikan oleh mana-mana jurulatih selain membawa pasukannya ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
"Ini adalah kejohanan paling berprestij dalam bola sepak negara dan seharusnya saya berbangga kerana akhirnya berada di sini.
"Dalam masa sama, saya juga bertekad untuk membantu Terengganu menamatkan badi kejuaraan selama sedekad selepas kali terakhir negeri ini memenanginya adalah pada tahun 2001," tambahnya.
Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan mengakui para pemainnya berjaya menguasai setiap tekanan yang diberikan lawan selain bijak menggunakan peluang untuk menjaringkan gol.
"Abdul Manaf (Mamat) dan Ashaari (Shamsuddin) merupakan pemain yang sangat bijak dan mereka langsung tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol.
"Saya juga boleh katakan bahawa Marzuki Yusof adalah pertahanan terbaik negara masa kini dan kehadirannya begitu memberi impak kepada kekuatan pasukan," katanya.
Ditanya mengenai lawan di pentas final, Irfan secara peribadi mengakui, Negeri Sembilan merupakan sebuah pasukan yang cukup lengkap.
"Negeri Sembilan merupakan pasukan yang lengkap dan sudah pasti perlawanan akhir nanti menjanjikan sesuatu yang hebat," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment