KUALA TERENGGANU - "Saya minta maaf kepada seluruh rakyat Terengganu terutama penyokong pasukan. Saya akui kesilapan yang saya lakukan. Saya minta maaf kerana gagal bawa balik trofi kali ini."
Demikian luahan penjaga gol Terengganu, Mohd. Sharbinee Allawee ekoran kekalahan 1-2 pasukannya kepada Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Sharbinee mengakui kesilapannya membolehkan Negeri Sembilan menjaringkan gol penyamaan menerusi S.Kunanlan (minit ke-81) setelah Terengganu mendahului hasil jaringan Mohd. Ashaari Samsudin (minit ke-59), sebelum Hairuddin Omar meledak gol kemenangan skuad Rusa pada minit ke-86.
Menurut Sharbinee, dia sangat kecewa dengan kesilapannya memberikan gol mudah pada Negeri Sembilan.
"Nak buat macam mana, saya dah lakukan sedaya upaya tapi ia tetap berlaku. Saya sifatkan ini satu lagi pengalaman pahit saya. Saya anggap ini satu pengajaran buat saya untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang," ujarnya.
Mohd. Sharbinee dan pemain Terengganu tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.
Bekas penjaga gol kebangsaan berusia 25 tahun itu tidak menyalahkan keadaan permukaan padang sebagai punca dia melakukan kesilapan sehingga terlepas bola dari genggamannya.
"Ia memang kecuaian saya sendiri tapi ini semua dah lumrah dalam permainan. Saya kena terima (cemuhan orang), sudah lumrah kalau kita buat silap kita dikeji dan kalau beraksi baik dan cemerlang, kita dipuji," katanya.
Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti juga tidak menyalahkan Sharbinee sepenuhnya atas kekalahan pasukannya.
Katanya, para pemain Terengganu agak kurang fokus sehingga memberi peluang kepada Negeri Sembilan menyamakan kedudukan seterusnya mencipta jaringan kemenangan menerusi penyerang berpengalaman, Hairuddin Omar.
"Ketiadaan pemain pertahanan, Mazlizam Mohamad yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan kepala, turut menyukarkan kami," katanya.
No comments:
Post a Comment