Tuesday, October 4, 2011

Khairul kembali berlatih


TEMPOH malang sudah berlalu dan tuah kembali menyebelahi juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor untuk meneruskan “Misi 33” apabila turun berentap dalam saingan suku akhir pertama menentang Perak di Stadium Shah Alam, Isnin depan.

Selepas kebangkitan lewat memberikan kejayaan kepada Merah Kuning dalam merebut salah satu tempat ke suku akhir, skuad kendalian jurulatih P Maniam itu jelas kembali bersemangat memburu piala terakhir musim ini berdasarkan persembahan bertenaga ketika tewas tipis 1-0 dalam perebutan Piala Sultan Selangor kepada Singapura, Sabtu lalu.

Lebih menceriakan kem Selangor adalah tonggak pertahanan tengah, Khairul Anuar Baharom dijangka kembali menguatkan benteng terakhir skuad Merah Kuning selepas tersisih kerana kecederaan pada pertengahan bulan Ogos lalu.


“Dia akan kembali menjalani latihan hari ini. Saya akan menilai dulu prestasinya dalam tempoh yang ada sebelum membuat keputusan untuk menurunkannya menentang Perak atau sebaliknya,” kata Maniam yang berpeluang menguji pemain terbabit menerusi perlawanan persahabatan menentang skuad Sukan Sea negara di Wisma FAM pada Khamis ini.

Kehadiran semula pemain berpengalaman itu pastinya mampu menambah kekuatan barisan pertahanan Selangor yang masih mencari gandingan pemain pertahanan tengah terbaik sebelum ini sehingga menyumbang kepada aksi goyah pasukan.

“Saya akan memberikan peluang kepada semua pemain untuk membuktikan kemampuan terutamanya kehadiran pemain tengah yang ramai dalam pasukan sebelum memutuskan kesebelasan utama yang turun menentang Perak nanti.



“Walaupun sudah layak saya tidak mahu pemain cepat berpuas hati dan mengharapkan mereka dapat meningkatkan lagi tahap kecergasan,” katanya.

Selangor yang muncul naib juara Kumpulan D terlebih dulu akan melayan kunjungan juara Kumpulan A, Perak yang tidak tewas dalam enam perlawanan peringkat kumpulan sebelum berkunjung ke Stadium Ipoh empat hari selepas itu bagi menentukan tiket ke separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...