Saturday, October 8, 2011

Santapan Socceroos


LINCAH...penyerang negara, Safee Sali mengekang kemaraan pemain Australia, Neil Kilkenny  di Stadium  Canberra, semalam.
LINCAH...penyerang negara, Safee Sali mengekang kemaraan pemain Australia, Neil Kilkenny di Stadium Canberra, semalam.

STATUS Harimau Malaya selaku juara rantau Asia Tenggara dipermainkan oleh Australia menerusi kekalahan besar 5-0 dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Canberra, semalam.

Kekalahan dalam perlawanan yang dikuasai sepenuhnya naib juara Piala Asia itu menjadi tamparan hebat buat ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal selepas menanggung kekecewaan tersingkir di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia di tangan Singapura, Julai lalu.

Sememangnya di atas kertas sudah tertulis jurang Malaysia di ranking ke-147 dunia manakala pasukan tuan rumah ke-19 dunia amat ketara, namun tentangan yang diharapkan pemain Harimau Malaya tidak kelihatan sehingga dibolosi empat gol pada babak pertama perlawanan yang disaksikan 10,041 penonton.


Kemenangan ini pastinya menjadi tonik terbaik buat Socceroos sebelum bertemu Oman, di Sydney, Selasa depan bagi saingan kelayakan Piala Dunia 2014.

Kapten Australia, Lucas Neill berkata, mereka mempamerkan aksi terbaik kerana masing-masing mahu merebut tempat dalam skuad Piala Dunia.

“Ia persembahan yang amat baik. Kami tahu jika kami menjaringkan gol awal, permainan akan terbuka dan itulah strategi yang kami gunakan.


“Pemain mengambil peluang diberikan jurulatih yang kini sukar memilih pemain dan kami akan meneruskan prestasi seperti ini.

“Kekuatan pasukan sangat penting kerana kami mempunyai banyak perlawanan penting selepas ini,” katanya.


Tanpa beberapa pemain bintang seperti Tim Cahill, Mark Schwarzer, Brett Emerton dan Harry Kewell, langsung tidak menjejaskan rentak Socceroos yang dikendalikan Holger Osieck apabila menyumbat gol pertama menerusi pemain tengah Luke Wilkshire seawal minit ke-3.

Penyerang negara, Mohd Safee Sali cuba mengancam kubu Australia yang dikawal Adam Federici namun lorongan ke dalam kotak penalti gagal dibaca rakan sepasukan.

Pemain negara seperti kaku beraksi dalam cuaca sejuk 13 darjah Celsius apabila membenarkan Australia saling berbalas hantaran sehingga membuka ruang kepada penyerang, Joshua Kennedy menyumbat gol kedua menerusi rembatan deras, menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-33.

Ketika pertahanan negara yang dikemudi kapten, Norhafiz Zamani Misbah bergelut bertahan, giliran penyerang Alex Brosque yang mewakili kelab Jepun, Shimizu S-Pulse membocori gawang selepas mendapat umpanan Kennedy.

Sebelum berehat, Kennedy sekali lagi mencuri tumpuan dengan menyumbat gol keempat selepas gerakannya gagal dikawal pertahanan Mahali Jasuli.

Babak kedua, Rajagobal membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, pemain tengah bertahan, K Reuben dan pemain pertahanan Mohd Zubir Azmi menggantikan Baddrol Bakhtiar, Joseph Kalang Tie dan Mahali.

Biarpun tidak banyak yang mampu dilakukan skuad negara, namun mereka sekurang-kurangnya mereka berjaya menyekat pasukan tuan rumah terus berpesta gol apabila hanya dibolosi menerusi jaringan Brosque di minit ke-69.

Kekalahan 5-0 ini menjadi pengajaran bermakna buat Rajagobal betapa sasaran utamanya membawa Harimau Malaya layak beraksi di Piala Asia 2015 di Australia masih jauh untuk digapai.

Malah keupayaan skuad negara untuk mempertahankan Piala AFF tahun depan kini turut menjadi persoalan jika pemain negara terus bergelut memperbaiki prestasi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...