“SAYA tidak berniat mengasari pemain lawan, cuma semangat untuk menang membuatkan saya bermain lebih agresif,” kata pemain pertahanan Kelantan, Mohd Daudsu Jamaludin.
Dia akur dengan keputusan pengadil yang ‘menghadiahkan’ kad merah kepadanya dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Akibatnya, pemain berusia 26 tahun itu tidak dapat beraksi membantu Red Warriors pada suku akhir kedua di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini.
Daudsu berkata, dia tidak pernah menerima kad merah sepanjang liga musim ini dan kecewa kerana tidak dapat beraksi di laman sendiri sekali gus terlepas peluang membantu rakan membenam Terengganu yang beroleh kemenangan 3-1.
Katanya, ketegangan dalam perlawanan itu berlaku sekelip mata dan tidak menyangka terus dilayangkan kad merah berikutan tindakannya yang didakwa mengasari pemain lawan.
“Saya terima keputusan pengadil namun sedikit kecewa kerana tidak dapat membantu pasukan nanti, namun saya harap rakan sepasukan bangkit untuk memastikan Kelantan mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia.
“Saya tidak berniat mengasari pemain lawan malah kami juga bermain dalam emosi yang terkawal, cuma bersemangat untuk menang menyebabkan kami bermain lebih agresif begitu juga pihak lawan,” katanya.
Selain Daudsu, pemain tengah, Mohd Shakir Shaari dan Mohd Aziz Ismail juga menerima nasib sama.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, di awal permainan pemainnya berjaya mengawal permainan dan mengikut strategi yang dirancang namun apabila aksi bertambah panas, rentak perlawanan bertukar lebih agresif.
Katanya, selepas kehilangan tiga pemain itu, percaturan pemainnya menjadi kelam kabut malah gagal menyempurnakan peluang.
No comments:
Post a Comment