BOLOS 21 gol dalam lima perlawanan kompetitif berturut-turut di pentas antarabangsa sememangnya sesuatu yang langsung tidak boleh dibanggakan oleh pasukan bola sepak kebangsaan.
Mereka sebelum ini tewas 0-4 dan 3-6 kepada Arsenal dan Liverpool pada aksi Pra-Jelajah Asia sebelum ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 oleh Singapura secara agregat 4-6, Julai lalu.
Yang terbaharu, skuad Harimau Malaya tewas 0-5 kepada Australia dalam aksi persahabatan Jumaat lalu sebelum selamat tiba di tanah air sehari kemudian.
Sesungguhnya, rentetan episod kekalahan dengan jumlah jaringan yang cukup besar ketika ini wajar diatasi segera oleh anak buah Datuk K. Rajagobal.
Jika trend ‘murah hati’ ini diteruskan, tidak mustahil sekiranya pasukan kebangsaan sukar untuk mendapatkan lawan berstatus kelas A waima untuk sekadar mengadakan perlawanan persahabatan semata-mata selepas ini.
Malah jangan terkejut sekiranya skuad negara cuma akan dijemput Socceroos bagi perlawanan persahabatan dalam tempoh 20 tahun lagi selepas kali terakhir membuat perhitungan dengan mereka pada final Piala Kemerdekaan Indonesia pada 1992.
Dalam aksi di Canberra baru-baru ini, gawang Malaysia dibolosi lima gol masing-masing menerusi jaringan Josh Kennedy dan Alex Brosque sementara bintang Middlesbrough, Rhys Williams mencatatkan nama selaku penjaring Australia seawal minit kedua.
Sebelum ini, ketika menentang Arsenal, benteng pertahanan negara dimalukan oleh Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Thomas Rosicky sementara Charlie Adam, David Ngog (dua gol), Maxi Rodriguez (dua gol) dan Dirk Kuyt pula berpesta gol semasa The Reds membelasah Harimau Malaya di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Jutaan peminat fanatik bola sepak tempatan juga masih belum dapat melupakan kekalahan memilukan semasa ditewaskan pasukan jiran, Singapura dalam aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2014 menerusi enam gol jaringan Alexandar Duric (dua gol), Qiu Li, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak dan Shi Jia Yi.
Jika diperhatikan secara amnya, nama-nama seperti Mahali Jasuli, Mohd. Zubir Azmi, Asraruddin Putra Omar, Muslim Ahmad, Aidil Zafuan Abdul Razak, Norhafiz Zamani Misbah dan Mohd. Fadhli Shas adalah antara yang sering menjadi pilihan Rajagobal mengemudi benteng pertahanan negara.
Apa yang tidak kena sebenarnya? Adakah wajah-wajah yang menerajui benteng pertahanan negara ketika ini bukannya yang terbaik?
Jika hendak diukur menerusi saingan domestik, benteng Terengganu dilihat paling kebal apabila sekadar bolos tiga kali dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia kali ini menerusi gandingan Marzuki Yusof, Ronny Harun dan Mazlizam Mohamad, wajah-wajah yang mungkin perlu lebih banyak diberikan peluang oleh Rajagobal selepas ini.
Meskipun Rajagobal dilaporkan bersedia meletak jawatan jika gagal membantu Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2015 seperti mana dilaporkan akhbar baru-baru ini, ia bukanlah satu penyelesaian sebenarnya.
Bukan apa, penyokong pun sebenarnya faham daripada hendak meminta yang ‘bukan-bukan’ daripada skuad Rajagobal setelah berjaya menamatkan kemarau penantian selama beberapa tahun menerusi pingat emas Sukan SEA 2009 dan juara Piala AFF Suzuki 2010 sebelum ini.
Cuma senang cerita, jika tewas pun biarlah ‘berpada-pada’ jangan sampai kena bolos empat atau lima gol. Pendek kata, jangan ‘murah hati’ sangat.
No comments:
Post a Comment