Wednesday, October 26, 2011
Piala Malaysia untuk ayah - Manaf
KUALA TERENGGANU - Bintang Terengganu, Abdul Manaf Mamat mahu memastikan pasukannya pulang bersama Piala Malaysia, Sabtu ini sebagai hadiah buat Arwah bapanya, Mamat Mahmud yang meninggal dunia, awal bulan ini.
"Detik ini amat saya nantikan dan saya akan memastikan kemenangan sebagai hadiah untuk ayah.
"Meskipun beliau sudah tiada, namun beliau adalah pendorong saya untuk mencipta kejayaan," ujar Manaf yang kehilangan bapanya pada 14 Oktober lalu lalu.
Biarpun namanya semakin naik hasil kejayaan meledakkan gol ketika membenam Selangor di separuh akhir, namun Manaf tetap merendah diri.
Baginya, tiada sebarang kejayaan sudah dilakar selagi dia tidak membawa pulang piala, Sabtu ini.
Dia yang terpaksa direhatkan pada sesi latihan semalam setelah mengalami kecederaan buku lali kanan tetap yakin akan disenaraikan dalam kesebelasan utama memandangkan kecederaan tidak begitu serius.
"Saya percaya dapat bermain pada malam final nanti kerana ia cuma bekas kecederaan lama pada buku lali ketika menentang Selangor Sabtu lalu," ujarnya.
Penyerang itu berkata, soal siapa yang menjaringkan gol tidak penting kerana ia permainan berpasukan, namun yang paling mustahak Terengganu menang seterusnya jadi juara Piala Malaysia kali ini.
Kata pemain berusia 24 tahun itu, rakan-rakan sepasukan yang lain juga mampu mencipta gol dan memastikan Terengganu merangkul trofi.
Dia bagaimanapun bertekad untuk bermain habis-habisan bagi menambah koleksi golnya.
"Berdasarkan keserasian yang baik dengan Abdul Hadi Yahaya dan Shaari Samsuddin, kami yakin dapat menggembirakan penyokong Terengganu," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah semalam.
Manaf setakat ini berjaya menjaringkan enam gol dalam saingan Piala Malaysia, 15 gol dalam Liga Super dan tujuh gol Piala FA.
Dia membantu Terengganu mengecewakan Kelantan pada aksi suku akhir Piala Malaysia dan menyingkirkan Selangor di separuh akhir.
Pada separuh akhir pertama Piala Malaysiadi Shah Alam, pemain yang berasal dari
Kampung Panji Alam itu berjaya menjaringkan dua gol.
Dia juga mencipta satu lagi gol sewaktu Terengganu melayani kunjungan Selangor pada separuh akhir kedua di gelanggang sendiri Sabtu lalu.
Abdul Manaf berpendapat, Terengganu dan Negeri Sembilan tetap mempunyai peluang seimbang untuk menjulang kejuaraan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment