Monday, October 10, 2011

Perak sedia lakar kejutan


PENYERANG Perak, Mohd. Failee Ghazli (kanan) kehilangan rakan gandingan yang sering melakukan hantaran di depan pintu gol, Muhammad Rafiuddin Mohd. Rodin yang tidak dapat beraksi kerana cedera.

IPOH - Ketiadaan tonggak utama tidak akan menjejaskan tumpuan Perak untuk mengejutkan Selangor pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam hari ini.

Pengurus Perak, Khairul Azwan Harun berkata, ketiadaan K. Nanthakumar dan Muhammad Rafiuddin Mohd. Rodin tidak merencatkan strategi yang disusun jurulatih Norizan Bakar.

Menurutnya, Perak akan beraksi dengan komitmen yang tinggi dalam usaha mengejutkan Gergasi Merah.

“Kami menyifatkan perlawanan esok seperti perlawanan peringkat kumpulan yang lalu. Kita tetap ada keyakinan tinggi,” katanya semalam.

Pemain pertahanan berpengalaman, Nanthakumar yang lebih dikenali sebagai ‘kereta kebal Seladang’ diketepikan setelah menerima tiga kad kuning manakala Muhammad Rafiuddin mengalami kecederaan.

Nanthakumar sering membantu Khairi Zainuddin pada barisan pertahanan dan menggerakkan serangan dari bahagian tengah setelah ketiadaan Sharulnizam Mustafa sejak lima perlawanan lalu.

Penyerang utama, Mohd. Failee Ghazli yang telah menyumbat empat gol dalam enam perlawanan lalu, pasti terasa kehilangan Muhammad Rafiuddin yang sering melakukan hantaran cantik bagi mencipta jaringan.

Khairul Azwan memberitahu, Norizan tidak melakukan sebarang perubahan dalam percaturan strategi Perak dan akan mengekalkan rentak permainan seperti perlawanan lalu.

Beliau meminta para pemain memberi komitmen yang tinggi untuk menjadi senjata utama menghalang kemaraan pihak lawan.

“Tanpa komitmen yang tinggi daripada para pemain, sesebuah pasukan tidak akan mencatat kejayaan walaupun mempunyai pelbagai strategi,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...