Thursday, October 20, 2011

Uzbekistan lebih unggul


KEMPEN skuad bola sepak bawah 23 tahun negara di kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam di Hanoi bermula hambar apabila tumpas 3-1 di tangan Uzbekistan pada aksi pembukaan di Stadium Nasional My Dinh semalam.

Ketiadaan 10 tonggak dalam kejohanan pemanas badan ini sebelum turun beraksi mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Indonesia bulan depan nyata menjejaskan rentak permainan anak buah Ong Kim Swee yang membenarkan Uzbekistan lebih banyak menguasai permainan.

Tanpa kapten, Khairul Fahmi Che Mat yang direhatkan, memberi ruang kepada penjaga gol simpanan, Mohd Izham Tarmizi beraksi dengan Baddrol Bakhtiar diamanahkan memimpin pasukan.


Biarpun menyaksikan gawang negara ditembusi tiga gol pada babak kedua, Kim Swee tetap berpuas hati dengan anak buahnya yang memberikan tentangan hebat.

“Kita tidak mempunyai 10 pemain utama untuk berdepan Uzbekistan yang dianggap pasukan pilihan ini. Biarpun saya menurunkan beberapa muka baru, aksi mereka tidak mengecewakan terutama pada babak pertama.

“Selepas ketinggalan 1-0, kami cuba mencari gol penyamaan dan akibat kelekaan, Uzbekistan berjaya menambah jaringan. Bagaimanapun pemain tetap menunjukkan semangat juang tinggi biarpun ketinggalan, itulah perkara yang harus saya puji,” katanya ketika dihubungi Arena Metro sebaik tamat perlawanan itu.


Selepas berjaya mengekang asakan Uzbekistan yang dikendalikan ketua jurulatih kebangsaan, Vadim Abramov pada babak pertama, kubu negara akhirnya berjaya dibolosi pada minit ke-54 menerusi jaringan Otabek Valijonov.

Uzbekistan yang diletakkan selaku pasukan pilihan kejohanan menggandakan jaringan pada minit ke-76 apabila Abduqakhor Khojiakbarov bijak melambungkan bola melepasi jangkauan Izham sebelum Oybek Qilichev menghasilkan gol ketiga menerusi sepakan penalti pada minit ke-89.


Bagaimanapun Malaysia mendapat gol sagu hati pada masa tambahan menerusi percubaan pemain sayap, Mohd Fandi Othman di depan pintu gol.

Skuad negara akan meneruskan saingan bertemu Myanmar, esok sebelum menentang pasukan tuan rumah, Vietnam sehari selepas itu.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...