SEREMBAN - Kejayaan skuad Hoben Jang Hoben membawa pulang trofi Piala Malaysia ke Negeri Sembilan buat kali ketiga kelmarin, akan diraikan secara besar-besaran di seluruh negeri.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna dan mahu seluruh rakyat meraikan dan menyaksikan trofi tersebut dengan lebih dekat.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, PBNS merancang untuk mengarak trofi berprestij sukan
bola sepak negara di setiap daerah negeri ini.
"Kejayaan ini satu kebanggaan buat Negeri Sembilan. Saya mahu seluruh rakyat dapat menyaksikan piala tersebut dari dekat, selain bertemu dan beramah mesra dengan pemain yang telah berjuang berhabis-habisan untuk membawa pulang piala ini.
"Sambutan berkenaan akan dibuat dalam tempoh terdekat dan kita akan pastikan ia disusun dengan dengan rapi,'' katanya pada majlis meraikan kepulangan pasukan Negeri Sembilan di Wisma PBNS, semalam.
Hampir 1,000 peminat Hoben Jang Hoben berkumpul di Wisma PBNS menyambut kepulangan skuad Negeri Sembilan yang menang 2-1 pada final Piala Malaysia ke atas Terengganu kelmarin.
Mohamad turut memberitahu, PBNS sedang berbincang berhubung habuan atau ganjaran yang akan diberikan kepada pemain di atas kejayaan membawa pulang Piala Malaysia untuk kali kedua dalam tempoh tiga tahun.
Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah mengucapkan terima kasih kepada Mohamad kerana memberi kepercayaan kepadanya memimpin skuad Rusa.
"Tanpa sokongan dan kepercayaan beliau, sudah tentu pasukan ini tidak dapat pergi jauh dan mendakap Piala Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment