Tuesday, October 18, 2011

Karathu tidak sambung kontrak


KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu mengesahkan tidak berhasrat untuk menyambung kontrak bersama Red Warriors musim depan atas alasan mahu menumpukan masa kepada keluarga.

Katanya, sudah sampai masanya beliau berbuat demikian memandangkan sebelum ini masanya agak terhad kerana terlalu sibuk dengan karier yang telah menjadi sebahagian daripada jiwanya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, pemain, penyokong dan semua ketika saya melatih Kelantan selama semusim.

"Sudah sampai bagi saya memikirkan untuk berehat bersama keluarga yang saya tinggalkan demi karier bola sepak selama ini. Kelantan sangat dekat di hati saya. Terima kasih semua," katanya ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas hala tujunya selepas gagal membantu Red Warriors mempertahankan Piala Malaysia apabila tewas juara Piala FA, Terengganu dengan agregat 3-5 pada saingan suku akhir Jumaat lalu.

Karathu pernah membimbing Kelantan pada 1993 sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.

Walaupun kandas pada suku akhir musim ini, Karathu mencipta sejarah apabila membawa Kelantan menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Super dan naib johan Piala FA.

Beliau menafikan menerima tawaran daripada pasukan lain sambil menegaskan, tidak pernah memohon dengan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia musim depan.

Sementara itu Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail, terkejut dengan berita berkenaan ia akan dibincang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa KAFA.

"KAFA akan bincang perkara ini jika benar jurulatih itu mahu melepas jawatan. Ini kerana beliau banyak berjasa kepada Kelantan dan kita sangat berpuas hati dengan komitmen beliau," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...