TAMPIL selaku wakil tunggal Borneo beraksi pada suku akhir Piala Malaysia musim ini, Sabah jelas memikul tugas besar dalam misi memburu satu slot ke separuh akhir.
Malam ini, kemampuan skuad kendalian Justin Ganai itu bakal diuji pasukan berstatus kelab, T-Team yang hadir dengan himpunan pemain bertaraf bintang selain reputasi selaku juara kumpulan.
Atas kertas, Justin mengakui kelebihan memang memihak kepada T-Team berdasarkan prestasi semasa termasuk memenangi kedua-dua pertemuan dalam kempen Liga Super.
Namun, katanya, Sabah tidak sesekali memberi laluan mudah kepada anak-anak buah Yunus Alif lebih-lebih lagi apabila kedua-dua pasukan beraksi di Stadium Likas malam ini.
"Saya bukan kata Stadium Likas menjadi stadium keramat kami kerana kami juga pernah tewas di sini. Namun, saya yakin beraksi di gelanggang sendiri pasti memberi semangat luar biasa kepada para pemain.
"Kami telah buktikan apabila berjaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam aksi peringkat kumpulan dan kini kami perlu teruskan rentak itu," kata Justin kepada Kosmo!.
Tambahnya lagi, kejayaan mara ke suku akhir mengatasi pasukan pilihan, Kedah merupakan kejayaan besar yang perlu diraikan para pemain.
"Siapa sangka kami akan mengiringi Perak ke suku akhir... tetapi kami telah buktikannya. Pemain saya bukanlah bintang tetapi mereka mempunyai semangat yang cukup tinggi.
"Berbeza dengan T-Team, pasukan kelab itu jelas memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi dengan kehadiran ramai bekas pemain kebangsaan," ujarnya.
Mengulas mengenai kesebelasan utama, Justin masih enggan mendedahkannya dan mengakui hanya pemain terbaik akan berada dalam skuad utamanya.
Kata beliau, setiap pemain memiliki peluang untuk beraksi bergantung kepada prestasi dan tahap kecergasan semasa.
"Khidmat pemain berpengalaman seperti Zainizam Marjan pasti diperlukan dan begitu juga pemain-pemain muda lain seperti Rethuaddin Imran," katanya.
No comments:
Post a Comment