Thursday, October 13, 2011

Kawalan ketat pertemuan suku akhir kedua di KB


KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan meningkatkan kawalan keselamatan menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala Malaysia tuan rumah menentang Terengganu di sini, esok.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, KAFA dan pihak keselamatan akan membuat perbincangan khusus untuk memastikan perlawanan berjalan lancar.

Menurut Annuar, pertemuan kedua-dua pasukan tersebut merupakan perlawanan yang sengit dan dijangkakan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir menyaksikan aksi tersebut.

"Kawalan pintu masuk akan diperketatkan dengan kerjasama pihak keselamatan yang akan membuat pemeriksaan rapi untuk memastikan penyokong yang hadir ke stadium (Stadium Sultan Muhammad IV) tidak membawa masuk barangan larangan seperti mercun dan bunga api yang boleh menganggu serta mencederakan orang lain.

"Selain itu, anggota keselamatan yang berpakaian biasa akan ditempatkan dalam stadium sebagai langkah pencegahan untuk mengelak berlakunya sebarang insiden tidak diingini.

"Untuk mengelakkan berlakunya kesesakan, KAFA akan membuka pintu masuk stadium seawal pukul 6.30 petang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambahnya, pihaknya berharap para penyokong setia Red Warriors dapat memberikan kerjasama kepada anggota keselamatan untuk memastikan tidak berlaku sebarang insiden yang boleh mencemarkan perlawanan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Annuar memberitahu, sebanyak 20,000 keping tiket akan dijual pagi Jumaat ini pada harga RM30 bagi tempat duduk berbumbung (Astaka) dan RM15 terbuka.

"Saya nasihatkan kepada para penyokong Kelantan supaya datang awal untuk mendapatkan tiket-tiket perlawanan bagi mengelakkan berlakunya kesesakan di kaunter-kaunter jualan.

"Para penyokong juga dinasihatkan supaya membeli tiket di kaunter jualan bagi mengelakkan mereka membeli dengan harga yang mahal dari pihak yang ingin mengambil kesempatan di atas permintaan yang tinggi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menasihatkan semua penyokong supaya mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak stadium dan memberikan kerjasama kepada polis.

''Pihak kami akan bertindak tegas kepada mana-mana individu yang melanggar peraturan dan cuba mewujudkan suasana tidak selesa sepanjang perlawanan tersebut.

"Selain itu kita akan menambah jumlah anggota keselamatan untuk mengawal keadaan sepanjang perlawanan tersebut," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...