Saturday, October 8, 2011

Jurang luas


pix_gal0
STATUS di atas kertas diterjemahkan sepenuhnya Australia apabila mudah membelasah skuad bola sepak kebangsaan 5-0 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Canberra, semalam. 

Skuad digelar Socceroos kendalian Holger Osieck itu yang kini berada di ranking ke-19 dunia dan kedua Asia, ternyata bukan lawan sebenar Harimau Malaya yang dikendalikan Datuk K Rajagobal yang sekadar berstatus pasukan ke-147 dunia.
Tampil dengan kesebelasan terbaik - Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Norhafiz Zamani Misbah, Muslim Ahmad, Asraruddin Putra Omar, Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, Joseph Kalang Tie, S Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali, saingan di atas padang masih ibarat langit dan bumi.
Australia yang turun tanpa penjaga gol Mark Schwarzer, Tim Cahill, Brett Emerton dan Harry Kewell, tetap garang dan seawal minit kedua berjaya membocori gawang Malaysia menerusi serangan pertama yang disudahkan pemain sayap, Luke Wilkshire.

Hanya hantaran sebelah kiri Safee yang lambat disambar Norshahrul menjadi satu-satunya ancaman Malaysia buat gawang tuan rumah yang dikawal Adam Federici.

Kemaraan Australia gagal ditampung pemain negara yang sekadar merelakan babak pertama berkesudahan 4-0 menerusi dua gol Josh Kennedy (minit 32 dan 45) serta ledakan Alex Brosque (38). 

Kemasukan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, K Reuben, Zubir Azmi dan Yong Kuong Yong bagi menggantikan Baddrol, Joseph, Mahali dan Muslim pada babak kedua turut gagal mengubah wajah permainan. Brosque meledak gol kedua peribadi dan kelima Australia pada minit ke-68.

Dua baki pertukaran, Farizal Marlias dan Izzaq Faris Ramlan yang menggantikan Khairul Fahmi dan Norshahrul sekadar memastikan kedudukan 5-0 itu kekal, mengulangi kekalahan dengan jaringan yang sama pada 1982 dan seharusnya menyedarkan realiti sebenar jurang antara kedua-dua pasukan ketika ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...