Saturday, October 15, 2011

Harga tiket RM20 ambil kira kos penganjuran


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan sengaja mencari keuntungan menerusi penjualan tiket berharga RM20 bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa antara skuad Sukan Sea negara dengan pasukan kebangsaan Nepal hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tiket FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, harga tiket itu sudah dipersetujui jawatankuasanya dengan mengambil kira kos penganjuran perlawanan itu.

“FAM bukan mahu untung tapi harga tiket itu bagi menanggung perbelanjaan penganjuran perlawanan, termasuk kos sewa stadium dan pengadil agak mahal.


“Bagaimanapun perkara ini akan diberi perhatian, terima kasih kerana memberi maklum balas mengenai perkara ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Rasa tidak puas hati peminat bola sepak tempatan terhadap harga tiket menyaksikan perlawanan persahabatan skuad kendalian Ong Kim Swee dan Nepal di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) jam 5.15 petang ini dipaparkan Arena Metro semalam.

Menurut pengasas kelab penyokong Ultras Malaya, Freddie Fitri, tiket berharga RM20 dianggap keterlaluan dan membebankan peminat negara untuk bertandang ke stadium.


Ketika ditanya adakah FAM akan menurunkan harga tiket itu, Sivasundaram berkata, harga tiket tetap kekal seperti diputuskan sebelum ini.

“Saya tak boleh turun harga tiket ini, kalau mahu ubah harga, kena buat mesyuarat dulu, perlawanan esok (hari ini), tak sempat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...