Thursday, October 6, 2011

Tetap waspada


Adam Federici

PENJAGA gawang Australia, Adam Federici mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak memperlekehkan keupayaan Harimau Malaya meskipun di atas kertas jurang antara kedua-dua pasukan amat ketara.

Australia, naib juara Piala Asia tahun ini menduduki ranking ke-19 dunia manakala Malaysia yang dibimbing Datuk K Rajagobal pula terperosok di tangga ke-147 dunia.

Biarpun Malaysia kembali mencipta nama di rantau Asia Tenggara dengan menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu, kehebatan Harimau Malaya itu belum cukup untuk menghadirkan gerun kepada Socceroos.


Namun bagi Federici yang beraksi bersama kelab Liga Kejuaraan, Reading, biarpun tidak terlalu mengenali penggempur utama Malaysia, Mohd Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha, dia tetap waspada dalam aksi persahabatan antarabangsa di Canberra esok.

“Semua pasukan kebangsaan yang anda temui adalah bagus, pemain-pemain mereka cergas dan bersemangat untuk menentang kami dan saya tidak boleh memandang mudah,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan The Canberra Times semalam.

Peluang Federici, 26, untuk menambah cap kelimanya terbentang luas selepas tonggak utama, Mark Schwarzer tidak dapat beraksi akibat kecederaan belakang.



Malah dia dikatakan calon pilihan setakat ini memandangkan jurulatih Socceroos, Holger Osieck hanya memanggil dua penjaga gol termasuk Nathan Coe dalam skuad 19 pemain.

Biarpun belum pasti kedudukannya dalam kesebelasan utama, Federici menyatakan sudah cukup bersedia untuk diturunkan dan bekerjasama dengan tonggak pertahanan yang juga kapten, Lucas Neill.


“Saya sudah lama bersama pemain-pemain dalam skuad kebangsaan dan tidak ada banyak bezanya bagi saya. Masing-masing sudah tahu permainan antara satu sama lain,” katanya.

Ini peluang terbaik untuk Australia membalas dendam kekalahan 0-1 di tangan Malaysia pada pertemuan terakhir di Kejohanan Ulang Tahun Jakarta 1992.

Bagaimanapun dalam enam pertemuan setakat ini, Socceroos lebih unggul dengan lima kemenangan berbanding Harimau Malaya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...