Saturday, October 15, 2011
Penyu gah mara
JUARA bertahan Piala Malaysia, Kelantan ditunjukkan jalan keluar oleh Terengganu selepas aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Mohamad IV, Kota Bharu, semalam sekali gus membolehkan juara Piala FA itu bertemu Selangor pada aksi separuh akhir.
Skuad Kelantan yang dikendalikan Datuk M Karathu bukan saja gagal bangkit untuk memadamkan kelebihan pelawat yang mencatatkan kemenangan 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Isnin lalu malah dikejutkan dengan dua jaringan awal lawan menerusi Ashaari Shamsuddin.
Pemain kebangsaan terbabit yang disisihkan skuad kebangsaan ke Australia baru-baru ini membuktikan kewibawaannya dengan membuka jaringan menerusi satu serangan balas pada minit ke-18 apabila mudah melambung bola tinggi menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Dia terus menjadi pemusnah kebangkitan The Red Warriors apabila meledak gol kedua pada minit ke-40 walaupun Kelantan terlebih dulu dihidangkan dengan sejumlah peluang menjaringkan gol termasuk dua percubaan kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi yang menggegar palang dan tiang gol.
Jaringan terbabit nyata memberikan keselesaan kepada anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang menamatkan saingan separuh masa pertama dengan agregat 5-1.
Kelantan tetap cuba bangkit dengan membuka jaringan pada minit ke-54 menerusi jaringan Azamuddin Mohd Akil selepas penjaga gol Terengganu, Mohd Sharibee Allawee Ramli gagal menangkap kemas bola dan menambah satu lagi gol menerusi sepakan penalti Mohd Badri pada minit ke-70.
Jaringan terbabit terus menyedarkan barisan pemain Terengganu yang kembali mengemaskan corak permainan dan mempamerkan disiplin tinggi dalam mengekang asakan Kelantan diketuai penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.
Keputusan 2-2 di Kota Bahru itu membolehkan Terengganu mara ke separuh akhir dengan agregat 5-3. Terengganu dijadual menentang Selangor di Stadium Shah Alam pada Selasa ini, diikuti aksi timbal balik di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Sabtu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment