SHAH ALAM - Niat S. Kunanlan cuma mahu melakukan hantaran silang kepada Hairuddin Omar, tetapi tanpa dijangka ia memberikan gol penyamaan Negeri Sembilan, yang menjadi detik kebangkitan mereka bergelar juara Piala Malaysia buat kali ketiga, kelmarin.
Dia mengakui bola sepakannya sepatutnya tidak menerjah gawang Terengganu jika tidak kerana kesilapan penjaga gol, Sharbinee Allawee.
"Sepatutnya bola sepakan saya mudah ditangkap penjaga gol namun keadaan padang yang licin mungkin membuatkan dia (Sharbinee) gagal menangkap bola tersebut.
"Saya langsung tidak jangka hantaran saya menghasilkan gol. Saya gembira kerana jaringan itu menjadi pembakar semangat kepada rakan-rakan untuk bangkit.
"Lebih menggembirakan ia menjadi detik kebangkitan kami menang ke atas Terengganu," katanya.
Terengganu mendahului aksi final di Stadium Shah Alam kelmarin hasil jaringan Asaari Samsudin pada minit ke-59 sebelum gol penyamaan Kunanlan pada ke-81 mengubah rentak perlawanan.
Bola lambung daripada Kunanlan gagal dibaca oleh Sharbinee yang kelihatan terkeluar sedikit daripada posisi, sebelum bola bergolek masuk ke dalam gol tanpa sempat ditampan keluar oleh penjaga gol berusia 24 tahun itu.
Kunanlan tetap menghormati kemampuan Sharbinee yang dianggap antara penjaga gol terbaik negara.
"Apa yang terjadi pada perlawanan hari ini, mungkin nasibnya kurang baik. Dia tetap antara penjaga gol terbaik negara, Saya tahu kemampuannya kerana pernah sama-sama dalam skuad kebangsaan," katanya.
No comments:
Post a Comment