Saturday, October 15, 2011

Fokus lawan Nepal


TANPA beberapa tonggak termasuk kapten pasukan, Khairul Fahmi Che Mat, skuad Sukan Sea negara seharusnya masih mampu menewaskan Nepal dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, jam 5.15 petang ini.

Kemenangan ke atas Nepal itu mungkin tidak memberi sebarang makna namun ia cukup dijadikan bekalan semangat anak buah Ong Kim Swee sebelum bertandang ke Hanoi bagi menyertai kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) minggu depan.

Nepal bakal membariskan pemain kebangsaan mereka manakala Kim Swee tidak akan menurunkan pemain skuad Sukan Sea yang beraksi dalam Piala Malaysia, malam tadi, iaitu Khairul Fahmi, Mohd Izuan Solahuddin, Mohd Aziz Ismail (Kelantan), Muhammad Zubir Azmi (Terengganu), Mohd Asraruddin Putra Omar (Selangor), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Mohd Syazwan Roslan (Perak), Azrul Azmi dan D Saarvindran (Felda United).


Malah benteng negara juga bakal kehilangan pertahanan kental Mohd Muslim Ahmad yang mengalami kecederaan pinggang manakala gandingannya, Mohd Fadhli Shas beraksi secara pinjaman dengan kelab liga Slovakia, Vion Zlate Moravce bersama Mohd Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Namun situasi itu tidak menggusarkan pengendali negara kerana baginya, inilah peluang terbaik untuk pemain yang jarang mendapat peluang membuktikan keupayaan mereka merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Bagi saya perlawanan dengan Nepal bukan perlawanan mudah kerana mereka menurunkan pemain kebangsaan. Yang penting saya mahu semua pemain fokus permainan serta menunjukkan persefahaman, komitmen dan disiplin tinggi.


“Ini peluang terbaik untuk pemain baru merebut tempat dalam skuad ke Hanoi, Vietnam kerana saya akan hanya membawa 20 pemain ke sana nanti,” katanya.

Mengulas kemungkinan Muslim tidak dapat diturunkan, Kim Swee berkata, beliau masih mempunyai pemain seperti Muhammad Amer Saidin dan Muhammad Syazwan Tajuddin untuk membentuk gandingan pertahanan tengah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...