Monday, October 17, 2011

Cabaran getir nanti anak didik Azraai

SELEPAS berjaya mempamerkan kebangkitan apabila melenyapkan cabaran FELDA United di peringkat suku akhir, pemain Negeri Sembilan diingatkan supaya bersedia dengan cabaran lebih besar apabila turun menentang T-Team pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, malam esok. 

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah tidak mahu anak buahnya leka dengan kemenangan dicapai, sebaliknya mengingatkan betapa mereka perlu sentiasa berwaspada dengan cabaran berdepan skuad bimbingan Yunus Alif itu, yang menampilkan ramai pemain berpengalaman dan berwibawa.

“Saya sudah mengingatkan pemain perjuangan belum selesai dan cabaran lebih besar bakal menanti pada peringkat separuh akhir kerana T-Team bukan calang pasukan selepas mereka menewaskan Sabah dan menjadi satu-satunya pasukan kelab yang mara ke peringkat separuh akhir ini.
“Pemain seperti Indra Putra Mahyudddin dan Norfarhan Muhammad dilihat antara tonggak penting dalam skuad itu yang perlu diberi perhatian pertahanan Negeri Sembilan,” katanya, semalam. 

Negeri Sembilan mara ke separuh akhir selepas menewaskan FELDA United dengan agregat 3-1 selepas menang 3-0 pada suku akhir kedua di laman sendiri, Jumaat lalu hasil jaringan Hairudin Omar pada minit ke-16 dan ke-113 serta Idris Karim, minit ke-100.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...