Thursday, October 13, 2011

Yob enggan kempunan


SELURUH tenaga - pegawai, pemain dan peminat perlu digembleng bagi membakar semangat Seladang untuk mengembalikan keyakinan pasukan apabila turun membuat perhitungan dengan Selangor dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di Ipoh, malam esok.

Justeru pengurus Perak, Khairul Azwan Harun mahu gelombang kuning memenuhi setiap ruang Stadium Perak yang mempunyai kapasiti 35,000 penonton itu.

“Ini peluang terakhir buat Perak. Ini perlawanan hidup atau mati. Jika gagal bererti kita kena tunggu semusim lagi.


“Biar kalah berjuang daripada menyerah mudah begitu saja,” kata Khairul Azwan yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa).

Justeru beliau mengajak kesebelasan permulaan pasukan tuan rumah menggempur kubu lawan sebaik wisel permulaan dalam usaha memadam defisit 3-1 di tangan pasukan merah kuning itu Isnin, lalu.

Untuk itu, beliau berharap pemain pasukan Kejor Yob Kejor melupakan segera kekecewaan akibat kekalahan itu sebaliknya turun dengan keyakinan dan semangat juang kental.



“Persembahan pasukan tidak seperti yang diharapkan pada pertemuan itu. Mungkin pemain hilang keyakinan serta gugup beraksi di Stadium Shah Alam.

“Namun semua itu perlu diketepikan dengan pemain turun dengan semangat dan iltizam baru menebus kekalahan yang sekali gus merobek rekod tanpa kalah mereka dalam Piala Malaysia kali ini. Lebih penting kesilapan perlawanan pertama jangan diulangi.” katanya.


Walaupun sedar tugas berat yang menanti pemain Perak namun Khairul Azwan percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak dan sehubungan itu mahu pemain tuan rumah menggunakan kelebihan yang ada.

“Kelebihan kali ini di pihak Perak kerana mendapat sokongan padu penyokong sendiri. Justeru pemain perlu menggunakan kelebihan yang dimiliki itu sebaik mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...