Monday, October 10, 2011

Peminat kena bersabar


“SESIAPA saja boleh bagi pandangan, untuk saya sebagai jurulatih tetap yakin skuad negara akan pergi jauh dan meningkat selepas ini,” jelas ketua jurulatih Datuk K Rajagobal sebagai menjawab kritikan hebat selepas Harimau Malaya dibelasah 0-5 kepada Australia pada aksi persahabatan antarabangsa di Canberra, Jumaat lalu.

Beliau menegaskan, kekalahan itu tidak menjejaskan reputasi Malaysia selaku juara rantau ini dan meminta peminat-peminat memberikannya masa untuk melaksanakan misi utama melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

“Saya fikir tidak. Di sini saya mahu rakyat faham, saya suka memberikan contoh di mana Uzbekistan juga kalah 0-6 dengan Australia pada separuh akhir (Piala Asia 2011). “Jurulatih Australia boleh memberi pujian dengan menyatakan pemain negara mempunyai potensi dan berbakat. Beliau lebih pakar kerana menjadi jurulatih yang membimbing Australia ke Piala Dunia.


“Kita kena sabar, ada pasukan kalah dan ada pasukan yang menang, sebagai peminat kita kena terima,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik tiba di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin.

Rasa kecewa peminat negara tidak dapat disembunyikan apabila melihat barisan Harimau Malaya tidak berdaya memberi tentangan hebat kepada pasukan tuan rumah apabila ketinggalan 0-4 pada babak pertama sebelum skuad naib juara Piala Asia itu melengkapkan kemenangan 5-0 dalam aksi berat sebelah itu.

Ketika beberapa tonggak utama seperti kapten Mohd Safiq Rahim dan Mohd Amirulhadi Zainal tidak disenaraikan, muka-muka baru seperti Joseph Kalang Tie, K Reuben, Yong Kuong Yong gagal menyerlah pada penampilan pertama di pentas antarabangsa.



“Bukan senang bermain menentang Australia tapi saya lihat pemain seperti Joseph, Reuben, Wan Zahrulnizam (Wan Zakaria), Yong serta Zubir Azmi menunjukkan permainan berani. Saya nak lihat lagi bolehkah pemain ini mengekalkan permainan konsisten,” kata Rajagobal yang memimpin skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 dan Piala Suzuki AFF Disember lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...