Thursday, October 13, 2011

Sabah sedia gempur


PENYERANG Sabah, K. Thanaraj (kanan) antara pemain yang perlu diawasi oleh T-Team pada aksi di Kuala Terengganu malam esok.

MISI mustahil kini menyelubungi kem pasukan Sabah dalam usaha melayakkan diri ke pusingan separuh akhir kempen Piala Malaysia musim ini.
Semuanya gara-gara kekalahan mengejut 1-2 kepada pasukan berstatus kelab, T-Team pada aksi suku akhir pertama di Stadium Likas Kota Kinabalu, Isnin lalu.
Kekalahan itu meletakkan anak-anak buah Justin Ganai dalam kedudukan genting apabila perlu berdepan lawan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam esok.
Andai prestasi semasa menjadi ukuran, T-Team diramal tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan di hadapan penyokong sendiri, sekali gus mencatat sejarah mara dalam kelompok empat pasukan terakhir.
Namun, Justin tetap tenang dan menganggap pasukannya masih bernyawa, sambil menolak untuk mengangkat bendera putih lebih awal.
“Kami tidak gentar untuk berdepan T-Team walaupun pada hakikatnya ini bukanlah satu tugas yang mudah.
“Permainan masih berbaki 90 minit dan kami akan gunakan setiap peluang yang ada untuk mengatasi T-Team di hadapan penyokong sendiri,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Justin juga mengakui tekanan sebenarnya kini lebih dirasai pemain-pemain T-Team berbanding anak-anak buahnya.
Jelasnya, beraksi di hadapan penyokong sendiri bukanlah sesuatu yang mudah dan ia pasti memberi tekanan psikologi kepada pasukan tuan rumah.
“Kami akan datang untuk mencari gol dan soal kami kalah atau tidak, itu perkara kedua.
“Pemain juga masih bersemangat untuk menebus kekalahan di Likas dan sedia bermain habis-habisan,” jelasnya.
Mengenai strategi, Justin enggan terlalu mendedahkan percaturan skuadnya, namun tidak menolak kemungkinan akan bermain secara menyerang.
“Kami hanya perlukan dua gol sahaja dan mengelak daripada dibolosi. Jika kami berjaya mencapainya, maka kelebihan pasti memihak kepada kami.
“Namun, ini tidak bermakna kami akan menyerang berterusan kerana sebarang kesilapan pasti menghukum kami,” jelasnya.
Apa yang pasti, Justin sedia membuat pertimbangan untuk menurunkan barisan serangan terkuatnya yang diketuai bekas pemain kebangsaan, Zainizam Marjan.
“Selain Zainizam, saya masih mempunyai pemain-pemain seperti Farid Ideris, Razlan Oto, Fadley Lunsing dan Alto Jinus untuk bermain di posisi penyerang,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...