Monday, October 24, 2011

N. Sembilan guna waktu baiki kelemahan


SEREMBAN - ''Walaupun kami sudah menempah tiket ke pentas akhir Piala Malaysia tetapi masih ada beberapa kelemahan yang dikenal pasti dan semua itu saya mahu perbaiki menjelang perlawanan akhir nanti.''

Itu ungkapan pengendali Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah selepas menyaksikan anak buahnya melangkah kaki ke pentas akhir Piala Malaysia 2011 buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan T-Team kelmarin.

Dalam aksi tersebut skuad Rusa terpaksa berhempas pulas menundukkan T-Team 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi sekali gus menempah tiket ke perlawanan akhir dengan agregat 6-3.

Namun begitu, Mohd. Azraai berkata, skuad Rusa memang layak beraksi di pentas akhir menentang Terengganu di Stadium Shah Alam pada 29 Oktober ini berdasarkan prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh anak buahnya.

Katanya, prestasi anak buahnya sentiasa meningkat dalam setiap kempen Piala Malaysia dan merupakan antara pasukan paling konsisten dalam edisi kali ini.

''Saya berasa syukur kerana kita layak ke pentas final sekali lagi tetapi semua ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa perit jerih semua pihak terutama para pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi sepanjang kempen kali ini.

''Berdasarkan prestasi dan corak permainan anak-anak buah saya, tidak syak lagi Negeri Sembilan sememangnya layak untuk beraksi di pentas final sekali lagi," katanya di sini, semalam.

Mengulas persiapan pasukan itu untuk beraksi di pentas final pada 29 Oktober ini, Mohd. Azraai memberitahu bahawa tempoh kira-kira seminggu ini akan digunakan memperbaiki beberapa kelemahan.

Mohd. Azraai berkata, perhitungan terakhir dengan Terengganu itu nanti sudah pasti menarik kerana kedua-dua pasukan sudah empat kali bertemu sepanjang kempen Liga Super dan Piala Malaysia musim ini.

''Negeri Sembilan dan Terengganu juga berada dalam kumpulan yang sama dalam kempen Piala Malaysia 2011 dan boleh dikatakan kedua-dua pasukan tahu kekuatan serta kelemahan masing-masing.

''Perlawanan terakhir ini sudah pasti menjanjikan aksi istimewa berbanding pertemuan terdahulu kerana kali ini pertaruhannya lebih tinggi iaitu mahu bergelar juara Piala Malaysia," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...