TUGAS penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali bersama Pelita Jaya FC (PJFC) semakin mencabar apabila dilantik kapten kelab Liga Super Indonesia itu yang bercita-cita tinggi untuk muncul juara liga musim ini.
Pelantikan Safee itu diumumkan sebelum latihan pusat PJFC bermula di pangkalan mereka di Sawangan, Jakarta semalam menerusi pemilihan ketua jurulatih, Misha Radovic.
Penyerang berusia 27 tahun itu yang akan tampil dalam musim kedua bersama PJFC selepas berpindah dari Selangor Februari lalu menyifatkannya pengiktirafan tertinggi bagi dirinya apabila muncul pemain Malaysia pertama menjadi kapten bersama kelab luar di Indonesia.
“Saya sungguh terharu dan mengucapkan terima kasih kepada jurulatih dan pihak kelab yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk memikul tugas sebagai kapten kelab ini.
“Bagi saya ini tanggung jawab cukup besar dan amat mencabar kerana pasukan Pelita Jaya kali ini mempunyai ramai pemain import jadi saya berharap akan mendapat kerja sama yang baik dengan rakan sepasukan.
“Saya berjanji akan memberikan persembahan terbaik bagi memastikan kelab ini layak beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2013,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Arena Metro semalam.
Pemilihan Safee ini dilihat keputusan bijak yang dilakukan pengendali dari Serbia itu memandangkan impak dan pengaruh yang kuat dihasilkan pemain itu sejak menyertai PJFC.
No comments:
Post a Comment