ALHAMDULILLAH. Setinggi-tinggi syukur ke hadrat Allah SWT akhirnya Harimau Malaya kembali menemui sentuhannya apabila menang besar 4-1 ke atas Laos.
Atas kertas sememangnya pasukan Laos bukan masalah untuk ditewaskan, cuma masalahnya kami tidak bermain bola atas kertas tetapi atas padang, maka bila di atas padang, macam-macam perkara boleh berlaku. Kerana itu kita hanya mampu merancang untuk memberi yang terbaik. Seperti yang kita semua ketahui sebelum perlawanan, Laos membuktikan kali ini mereka bukan turun sebagai pasukan belasahan sebaliknya pasukan yang boleh memberikan ancaman. Dengan kekurangan maklumat mengenai pasukan mereka, kami turun dengan hanya berbekalkan rekod dan persembahan mereka sewaktu bertemu Indonesia Ahad lalu dan mereka membuktikannya dengan dua kali mendahului naib juara AFF 2010 itu.
Tanpa pemain yang dikenali, tanpa penyokong, mereka berjaya mengikat Indonesia yang membariskan pemain yang agak hebat.
Manakala kita turun dengan tekanan cukup tinggi apatah lagi selepas tewas 3-0 kepada Singapura sedangkan saya dan rakan lain pula belum lagi menemui sentuhan gol.
Bermain di halaman sendiri sememangnya satu kelebihan yang tidak sepatutnya disia-siakan ditambah pula selaku juara bertahan, kritikan berterusan serta bermain dengan pasukan yang bukan biasa kita temui, menambahkan lagi tekanan. Kami sudah biasa dengan kritikan dan tekanan, namun kerana menyedari harapan seluruh rakyat Malaysia, maka segala pandangan, kami ambil serius dan menanam azam untuk memberikan yang terbaik.
Sewaktu masuk ke padang, kami berasa bangga kerana walau dikritik, masih ramai penyokong yang hadir memberi sokongan dengan nyanyian, bunyi gendang serta sorakan yang tak putus-putus. Sebagai pemain, inilah yang kami mahukan dan sangat kami hargai. Sebaik perlawanan bermula, tiada lain dalam fikiran kami kecuali menyerang dan mencari gol seawal mungkin.
Mungkin kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan gol, kami banyak mensia-siakan peluang terhidang termasuk saya sendiri. Ini saya akui dan memohon maaf kepada penyokong. Tapi kami tidak berputus asa dan akhirnya kami berjaya mendapat gol semangat yang dicari-cari selepas bermain selama 16 minit.
Kekecewaan gagal menjaringkan gol di separuh masa pertama membuatkan saya lebih bersemangat pada separuh masa kedua. Akhirnya usaha saya untuk mendapatkan gol pertama untuk kejohanan kali ini berhasil dan ia amat penting untuk menaikkan keyakinan saya dan rakan sepasukan.
Walaupun sudah menjaringkan banyak gol sebelum ini, gol ini cukup istimewa dan saya hadiahkan buat seluruh rakyat Malaysia terutama penyokong Harimau Malaya.
Gol itu meletakkan kita kembali di hadapan dan membantu rakan lain untuk tidak lagi menoleh ke belakang dan terus menambah dua gol lagi. Kami puas kerana berjaya menggembirakan seluruh penyokong bola sepak negara. Seperti yang saya katakan dalam keluaran lalu, jangan padam nama kami selagi 90 minit perlawanan belum berakhir.
Insya-Allah, saya dan rakan sepasukan akan terus berusaha keras pada perlawanan penting menentang Indonesia, malam esok.
No comments:
Post a Comment