Monday, November 19, 2012

Taruhan ‘kuda tua’

Harian Metro


PENGENDALI Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan sekali lagi tampil mempertaruhkan adunan ‘kuda tua’ dan pemain muda dalam mengharungi cabaran Liga M musim depan.

Kecemerlangan dan percaturan bekas pengendali skuad negara itu melonjakkan ATM muncul juara Liga Perdana dan memberikan saingan sengit terhadap juara Piala Malaysia, Kelantan di pentas final musim lalu serta dilihat bakal berterusan pada musim depan.

Selain kehilangan tiga pemain utama -Mohd Aidil Zafuan Adha dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak serta Mohd Azmi Muslim -kepada Johor, beliau berjaya mengekalkan baki keseluruhan pemain musim lalu yang diperkuatkan dengan kehadiran bekas kapten Negeri Sembilan, Mohd Shukor Adan.



“Saya sekali lagi akan menggabungkan tenaga ‘kuda tua’ bersama-sama pemain muda berusia seawal 18 tahun dalam membentuk pasukan musim depan,” kata pengendali berusia 54 tahun itu.

Sathianathan turut menyedari persiapannya musim depan perlu lebih rapi apabila bersaing dalam Liga Super yang lebih mencabar.

“Namun saya tetap percaya walaupun seseorang pemain itu mempunyai bakat, dia tetap tidak akan berjaya tanpa kerajinan dan kesungguhan. Semua pasukan mahu jadi juara namun kami perlu menyedari hakikat bahawa musim depan adalah penampilan pertama dalam Liga Super.


“Malah ada (pasukan) yang sudah 10 tahun bersaing di Liga Super namun tidak bergelar juara. Jadi kami perlu bersungguh-sungguh,” katanya yang meletakkan sasaran peribadi untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim depan.


Thailand dirancang menjadi destinasi persiapan pra-musim ATM dengan beberapa aksi persahabatan bulan depan.



Penyerang veteran berusia 36 tahun, Marlon Alex James sekali lagi menjadi taruhan ATM bergandingan bersama-sama Bruno Sebastian Martelotto (30 tahun), Hairuddin Omar (33) dan Mohd Rezal Zambry Yahya (34).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...