PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan pemain yang bertukar pasukan tanpa izin sebagai ‘menderhaka’ dan akan diketepikan daripada menerima ganjaran lot tanah seperti dijanjikan selepas mencipta kejuaraan trebel Liga M musim ini.
“Kami anggap pemain yang keluar daripada pasukan ini derhaka kepada kami dan Kafa tidak perlu memberi ganjaran kepada pemain itu.
“Ganjaran ini membabitkan jumlah yang besar dan kami akan membuat perbincangan bagi memperincikan ganjaran itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Marak, Kota Bharu, kelmarin.
Menurutnya, Kafa tidak bimbang jika perkara itu dijadikan isu, malah menegaskan ganjaran adalah hak mutlak persatuan dan tidak boleh dinafikan sesiapa.
Bagaimanapun, katanya, kedudukan pemain yang sudah tamat kontrak dan berhijrah ke pasukan lain seperti Nurul Azwan Roya (Johor) dan Ramzul Zahini Adenan (Selangor) akan dibincangkan bagi memastikan tiada kekeliruan berhubung ganjaran.
“Saya tidak kisah jika perkara ini (ganjaran) dijadikan isu malah ganjaran ini hak saya dan hak mutlak persatuan malah tiada siapa boleh mempersoalkannya.
“Kami akan bincangkan kedudukan pemain yang berpindah pasukan selepas kontrak mereka tamat musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment