Sunday, November 18, 2012

Azidan sah milik Pahang - Zainal



KUALA LUMPUR - Pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin sah menjadi milik Pahang, tegas penolong pengurus skuad Tok Gajah Zainal Abidin Hassan.

Menurutnya, Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) telah menerima surat pengesahan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan berharap tiada isu dibangkitkan mengenai status pemain itu.

Tanpa mahu mengulas terhadap hajat Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang masih mahu mendapatkan Azidan, Zainal tidak mahu isu itu diperbesarkan lagi sebaliknya memberikan tumpuan kepada persiapan Tok Gajah musim depan.


"Cukuplah, saya tidak mahu bercakap banyak lagi isu ini. FAM telah membuat keputusan Rabu lalu bahawa Azidan akan beraksi bersama Pahang setelah meneliti semua prosedur yang telah ditetapkan.

"Azidan melapor diri hari ini (semalam) di Kuantan dan dia bakal bermain dengan Pahang, " katanya ketika dihubungi kelmarin.

Perpindahan Azidan mencetuskan polemik di antara PBNP dan PAFA apabila Azidan meluahkan hasrat mahu beraksi bersama Perak tetapi PBNP mendakwa mereka terlebih dahulu menebus baki setahun kontrak pemain itu dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ekoran itu, FAM terpaksa bertindak menjadi orang tengah menyelesaikan isu berkenaan sebelum membuat keputusan Azidan bermain dengan Pahang setelah meneliti semua bukti dan prosedur perpindahan yang ditetapkan oleh FAM.

Keengganan Azidan untuk beraksi bersama Pahang akan membuatkan pemain tersebut akan digantung selama setahun oleh FAM.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...