Sunday, November 11, 2012

Rajagopal akui pemain tidak tunjuk kualiti



MALAYSIA perlu menang dalam dua perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Bangladesh bagi memulihkan semangat dan keyakinan pasukan menghadapi kempen mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki 2012.
   
Ketua jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagobal bertekad menjadikan dua perlawanan itu sebagai medan kebangkitan semula skuad tersebut selepas kalah 1-0 kepada Vietnam dan 2-0 kepada Thailand dalam dua perlawanan persahabatan awal bulan ini.
   
Skuad Harimau Malaya akan menentang Hong Kong pada 14 November dan Bangladesh seminggu kemudian (20 Nov) di Stadium Shah Alam sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki pada 25 November ini.
   

Ekoran kekalahan kepada Vietnam dan Thailand, skuad Rajagobal dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan.
   
"Sudah tentu kita memerlukan kemenangan bagi meningkatkan moral dan keyakinan pemain," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah motivasi kepada 50 anak peneroka Felda di Akademi Pembangunan Agrobank (ABADI) di Bangi, hari ini.
   
Mereka dipilih oleh 1Malaysia Cardiff City (1MCC) untuk menyertai lawatan sambil belajar ke Akademi Kelab Bola Sepak Cardiff City di Wales, United Kingdom dari 15 November hingga 4 Disember ini.
   
Pada masa yang sama, Rajagobal turut menepis tanggapan sesetengah pihak bahawa pemainnya tertekan ekoran persembahan hambar skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini sehingga mengundang rasa tidak puashati di kalangan peminat tempatan.
   
"Saya tidak beri tekanan kepada pemain namun saya akui kita tidak tunjukkan kualiti permainan yang boleh saya banggakan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini," katanya.   
   
Beliau turut mengesahkan bahawa skuad akhir 22 pemain yang bakal menggalas cabaran negara mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki dijangka diketahui selewat-lewatnya 24 November ini.
   
Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki, skuad kebangsaan, yang muncul juara pada edisi 2010 di Indonesia, telah diundi dalam Kumpulan B.
   
Mereka bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, bertemu Laos pada 28 November sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Disember.
   
Kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...