Wednesday, November 21, 2012

Semakin parah!


Pemain-pemain Bangladesh meraikan kejayaan bersama penyokong selepas berjaya menyamakan kedudukan 1-1 dengan Malaysia pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - UTUSAN/Abdul Razak Latif

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20121121/su_01/Semakin-parah#ixzz2CoHBD9xL
© Utusan Melayu (M) Bhd 



KUALA LUMPUR - Program pemulihan semangat selama tiga hari di Pulau Pangkor minggu lalu nampaknya tidak memberikan sebarang kesan.

Persembahan Harimau Malaya semakin membimbangkan selepas hanya mampu seri 1-1 dengan Bangladesh pada perlawanan persahabatan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum sepak mula Piala Suzuki AFF, Ahad ini.



Bagaikan serba tidak menjadi, persembahan anak-anak buah Datuk K. Rajagobal yang semakin hilang punca menjelang lima hari perlawanan sebenar berdepan Singapura dengan tahap persefahaman antara pemain masih lemah dan kurangnya gerakan-gerakan menarik dapat disajikan oleh barisan serangan.

Tambah menghibakan, di hadapan 3,000 penonton, gol penyamaan Bangladesh hadir ketika lawan beraksi dengan 10 pemain selepas Pranotosh Kumer Das dibuang padang pada minit ke-77 melalui sepakan penalti yang disempurnakan Md. Jahid Hasan Ameli pada minit ke-83.

Keputusan seri 1-1 dengan pasukan yang berada di ranking 171 dunia itu pasti sukar diterima oleh kebanyakan peminat setia Harimau Malaya kerana Bangladesh baru sahaja ditewaskan oleh Thailand 0-5 pada Sabtu lalu.

Jika aksi dalam empat perlawanan terakhir ini dijadikan ukuran, Harimau Malaya nampaknya mungkin sudah boleh melupakan impian mempertahankan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.

Gol tunggal pasukan negara diperoleh melalui Khyril Muhymeen pada minit ke-24 melalui tandukan hasil sepakan sudut yang diambil oleh ketua pasukan, Safiq Rahim.

Jaringan terbabit merupakan yang pertama buat pemain berasal dari Kedah itu buat skuad kebangsaan sejak Oktober 2008 iaitu semasa Pestabola Merdeka ketika mengalahkan Nepal 4-0 yang mana dia menjaringkan satu gol dalam perlawanan terbabit.

Cubaan terbaik pasukan pelawat diperoleh pada penghujung perlawanan melalui Md. Waly Faisal yang merembat dari jarak 30 meter, namun dapat ditangkap kemas Farizal Marlias.

Pada babak kedua, Rajagobal membuat percaturan baru memasukkan Zaquan Adha, Ahmad Hazwan Bakri, Shakir Shaari dan Baddrol Bakhtiar dengan mengeluarkan beberapa pemain utama seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.

Namun, tiada perubahan ketara dalam permainan Harimau Malaya dengan tempo permainan masih dilihat terlalu perlahan di samping kegagalan jentera serangan mencipta banyak peluang untuk menambahkan jaringan.

Sebaliknya, Bangladesh tiba-tiba menghadirkan ancaman pada 10 minit terakhir perlawanan biarpun beraksi dengan kekurangan seorang pemain dan tindakan Irwan Fadzly Idrus menjatuhkan Mithun Chowdhry memberikan sepakan penalti kepada pelawat.

Jahid tidak mensia-siakan peluang keemasan terbabit untuk menggembirakan kira-kira 1,000 penyokong mereka yang hadir dengan pemain-pemain Harimau Malaya tunduk kecewa yang bagaikan tidak percaya mereka boleh gagal mengalahkan Bangladesh.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...