Wednesday, February 5, 2014

‘Kenapa salahkan kami?’

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: “Kami terkejut dengan keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kenapa mereka salahkan kami?”

Itu persoalan yang ditimbulkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) Nokman Mustaffa selepas badan induk bola sepak tanah air mahu menyiasat enam lagi pegawai KLFA susulan skandal rasuah dan mengatur perlawanan Liga Perdana pasukan itu tahun lalu.


Menurut Nokman beliau hairan kenapa KLFA dikatakan seperti berpakat dengan penaja untuk menjerat 17 pemain skuad Warga Kota supaya terjebak dengan gejala tidak bermoral itu sedangkan mereka bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.


“Saya ada menyimpan semua rekod termasuk mesej saya dengan SPRM sebelum ini yang membuktikan kami sudah lama bekerjasama dalam hal ini. Kalau kata kami tidak buat kerja itu tak betul kerana saya sentiasa berhubungan dengan SPRM, tapi masalahnya pemain sendiri yang tidak mahu membuka mulut (mengenai bookie). Selepas pertandingan berakhir baru nak cakap, tapi sudah tiada gunanya,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Skandal rasuah dan mengatur perlawanan membabitkan skuad Kuala Lumpur itu memasuki episod baru selepas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM Datuk Taufek Abd Razak mengumumkan 17 pemain yang dituduh hanya dikenakan hukuman denda RM5,000 dan amaran keras selepas mendapati pemain terbabit berada di bawah tekanan sehingga terpaksa melakukan kesalahan itu.


Taufek mendedahkan ada sesuatu yang tidak kena dengan perjanjian KLFA dengan pihak penaja yang didakwa menjadi dalang kepada kegiatan tidak bermoral itu apabila sengaja melengah-lengahkan proses menandatangani kontrak pemain.

Bagaimanapun Nokman menafikan mereka bersubahat dalam kes itu dan hanya berpeluk tubuh apabila pemain mengadu masalah mereka, termasuk dipukul bookie kerana tidak mengikut arahan.

“Bagaimana kami nak tahu syarikat (penaja) itu bookie atau tidak, kerana apa yang kami tahu mereka menjalankan perniagaan di Klang. Memang kami menandatangani kontrak pemain pada 11 Disember (2012) dan tarikh tutup pada 13 Disember (2012), tapi apa masalahnya? Ia dilakukan sebelum tarikh tutup pendaftaran,” jelasnya.

Ketika ditanya kemungkinan memang ada pegawai KLFA yang terbabit bersekongkol dengan bookie, Nokman berkata: “Saya tidak tahu, apa yang saya tahu saya kerja dengan persatuan, kalau ada pegawai lain terbabit saya tak nak masuk campur.” Menurutnya beliau akan merujuk perkara itu kepada SPRM dan bersedia untuk menghadap Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya dipanggil selepas ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...