Saturday, February 15, 2014

PDRM amuk Singa Utara

Sumber: Harian Metro

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas Liga Perdana selepas membelasah Perlis 7-1 dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh melebarkan rekod bersih empat kemenangan liga berturut-turut untuk mengumpul 12 mata maksimum sekali gus meletakkan mereka selaku pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun bekas jurulatih skuad juara Piala Malaysia Pahang itu belum mahu mendabik dada walaupun memuji persembahan dipamerkan anak buahnya.



“Sebelum ini, kita menang tapi permainan tidak begitu menonjol.

Hari ini (semalam), mereka sudah mempamerkan persembahan yang saya harapkan selama ini.

Saya berpuas hati dengan kemenangan ini tapi tidak mahu pemain berada dalam zon selesa kerana kita masih bersaing di awal musim.

“Perjalanan liga masih jauh dan saya harapkan PDRM dapat mengekalkan prestasi ini untuk perlawanan akan datang,” kata Dollah.

Dalam perlawanan itu, PDRM membuka tirai jaringan menerusi pemain import dari Maldives, Ali Ashfaq pada minit ke-15.


Penguasaan pasukan tuan rumah berterusan apabila Charles Souza Chad menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti pada minit ke-49.

Ali memastikan kedudukan selesa dengan meledak gol ketiga pada minit ke-51 diikuti jaringan Bobby Gonzales (60) dan Khairul Izuan Abdullah (62).


Souza Chad akhirnya melengkapkan pesta gol PDRM dengan mencipta hatrik peribadi apabila meledak gol keenam dan ketujuh Sang Biru pada minit ke-65 dan 85.

Sementara itu, gol sagu hati skuad Singa Utara hadir menerusi pemain import Dao Bakary pada minit ke-55.

PDRM bakal berkunjung ke Kuantan untuk aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Pahang, Selasa ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...