PENJAGA gol ATM Syed Adney gagal menghalang percubaan pemain LionsXII Afiq Yunos (dua dari kanan). |
Sumber: Harian Metro
Kuala Lumpur: Faktor kecergasan antara punca utama skuad The Gladiators gagal menyekat aksi bertenaga anak buah Fandi Ahmad seterusnya mensia-siakan peluang mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan LionsXII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang berkesudahan tewas 2-1, kelmarin.
Jurulatih ATM, B Sathianathan kecewa dengan prestasi sebahagian besar tonggak utamanya yang hilang punca pada babak kedua akibat kurangnya kecergasan hingga mengganggu konsentrasi pasukan walaupun pada awalnya mendahului lawan.
“Kita tidak bermain seperti kebiasaan.
Apa yang saya nampak, pemain kurang cergas dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.
Ini merupakan satu kerisauan pada saya.
“Kalau kita hendak bertanding dengan pencabar dalam Liga Super seperti Selangor, Johor DT dan Pahang, kita perlu cergas selama 90 minit masa perlawanan dan faktor itu amat penting sekali dalam bola sepak moden.
“Selepas perlawanan malam tadi (malam kelmarin), saya telah berikan cuti selama tiga hari kepada pemain.
Naik sahaja daripada cuti nanti, saya akan kaji semula bentuk latihan pasukan dan akan lebihkan kepada sudut kecergasan,” katanya.
Menurut bekas jurulatih Harimau Malaya dan Kelantan itu, rehat panjang Liga-M selama dua minggu dalam memberi laluan kepada persiapan skuad negara dalam kempen Kelayakan Piala Asia, memberikan kesempatan kepadanya buat mengasah taring pasukannya.
“Tempoh rehat ini akan saya gunakan sebaiknya agar kita mampu beraksi di tahap sebenar.
Bukan itu sahaja, tempoh ini juga baik untuk pemain yang cedera untuk pulih dan kembali ke dalam pasukan,” katanya.
ATM terpaksa melupakan sementara khidmat pertahanan kental K Rueben yang mengalami kecederaan UCL dan perlu berehat selama lima bulan.
Terbaru, pemain lincah sayap Christie Jayaselan serta tonggak pertahanan kanan Mohd Riduwan Ma’on turut berada dalam senarai kecederaan ATM.
No comments:
Post a Comment