Sumber: Harian Metro
Kuala Terengganu: Penyerang import Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo tampil membuat laporan polis kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam di Balai Polis Kuala Terengganu selepas mendakwa ditumbuk dan dikasari pengurusan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam kelmarin.
Pemain kelahiran Brazil berusia 33 tahun dan jurulatih kecergasan T-Team itu tiba di balai polis dan turut ditemani Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizam Mohd Zain.
Namun, selepas lebih 30 minit berada di balai polis itu, usaha untuk mendapat penjelasan Evaldo dan Impagliazzo berhubung insiden yang menimpa mereka di Larkin malam kelmarin gagal kerana kedua-duanya enggan memberi ulasan.
Syahrizam berkata, beliau hanya membawa pemain dan jurulatih kecergasan itu ke balai polis dan tidak membabitkan pihak pengurusan T-Team.
“Saya tidak tahu sama ada mereka membuat laporan polis atau sebaliknya kerana saya hanya membawa saja. Laporan ini adalah hak individu mereka berdua dan tiada kena mengena dengan pihak pengurusan T-Team,” katanya ringkas.
No comments:
Post a Comment