Monday, February 3, 2014

Insiden sangat serius - Azraai

Sumber: Utusan Malaysia

KUALA TERENGGANU - Jurulatih T-Team, Azraai Khor Abdullah menyifatkan insiden yang menimpa pemainnya, Evaldo Rodrigues yang dikasari pihak pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) semasa perlawanan Piala FA di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Johor Bahru malam semalam sebagai sangat serius.

Dalam insiden yang berlaku di bilik persalinan sejurus tamat babak pertama perlawanan kedua-dua pasukan itu, jurulatih kecergasan skuad The Titans, Stefano Impagiazzo turut dikasari pegawai keselamatan yang berada di tempat kejadian.



Beberapa saksi mendakwa Impagiazzo ditendang di bahagian kemaluan manakala Evaldo Rodrigues ditumbuk pihak pengurusan JDT sewaktu pemain T-Team menuju bilik persalinan sebaik sahaja tamat separuh masa pertama.

Difahamkan, pemain kelahiran Brazil, Evaldo dan Stefano hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Terengganu semalam untuk membuat laporan polis tetapi menangguhkan hasrat itu untuk sementara.

Turut difahamkan, sebelum itu kedua-dua pemain itu turut dibawa pihak pengurusan T-Team ke sebuah klinik di sini untuk pemeriksaan.

Azraai yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu bagaimanapun berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu maklum balas seterusnya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kami masih tunggu apa tindakan daripada FAM berhubung insiden ini, kami telah hantar laporan mengenai kejadian itu kepada badan induk tersebut semalam (malam semalam)," katanya.

Perlawanan antara T-Team menentang JDT di Johor Bahru malam semalam ditangguhkan setelah T-Team mengambil keputusan enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...