Tuesday, February 25, 2014

Kehadiran Hodak cetus tanda tanya

Sumber: Harian Metro

Johor Bahru: Kehadiran Bojan Hodak ketika sesi latihan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Padang Seri Gelam, petang semalam sekali lagi menimbulkan tanda tanya.

Bekas pengendali Kelantan itu menyaksikan pasukan Harimau Selatan yang dikendalikan jurulatih Cesar Ferrando Jiminez itu berlatih selain turut berinteraksi dengan pengendali dari Sepanyol itu selepas sesi latihan.



Bagaimanapun, pegawai Johor DT yang turut berada di sesi latihan itu enggan mengulas lanjut dengan Jiminez pula lebih berminat bercakap mengenai persiapan menghadapi Sime Darby, 8 Mac ini.

“Selepas rehat empat hari pemain tampak tidak menghadapi masalah, malah tahap kecergasan mereka juga cukup memuaskan dan ia menunjukkan perkembangan positif.


“Malah ketiadaan sembilan pemain yang menyertai kem latihan skuad kebangsaan juga tidak mengganggu latihan kerana pemain Piala Presiden diserapkan bagi membantu pemain lain berlatih.


“Tumpuan kami adalah persiapan menentang Sime Darby FC di tempat lawan dan saya harap latihan ini beri ruang kepada saya untuk kenal pasti mereka yang akan diturunkan nanti,” katanya.

Beliau juga menegaskan tiada aksi persahabatan sepanjang tempoh saingan Liga Super direhatkan sebaliknya menumpukan kepada kecergasan pemain supaya sentiasa bersedia sebaik saingan liga bersambung.


Menurutnya lagi, kecederaan beberapa pemain seperti Azizi Mat Rose, Daudsu Jamaluddin, Afiq Kamaruddin dan penjaga gol Muhammad Al-Hafiz Hamzah semakin pulih, namun mereka perlu menjalani latihan kecergasan.

“Kami masih dalam proses pemulihan dan saya akan pantau tahap kecergasan mereka. Apapun kita tunggu dan lihat,” kata Jiminez.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...