PEMAIN sayap, Azamuddin Akil mengakui kedudukannya dalam skuad utama masih belum terjamin meskipun membuktikan kehadirannya cukup penting dengan menjaringkan gol pembukaan ketika membantu Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 kelmarin.
Kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Malaya meneruskan perjuangan mempertahankan kejuaraan Piala AFF apabila mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B.
Azamuddin hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika Malaysia tumpas 0-3 pada perlawanan pertama dan tidak diturunkan menentang Laos yang menyaksikan skuad kendalian Datuk K Rajagobal itu menang besar 4-1.
Pemain kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu diberi peluang beraksi di posisi sayap kiri mengambil tempat S Kunanlan yang mengalami kecederaan pangkal paha sehari sebelum perlawanan menentang Indonesia.
Peluang diberikan Rajagobal itu tidak disia-siakan Azamuddin yang dipanggil semula pada saat akhir selepas digugurkan dengan meledak gol pembukaan pada minit ke-27 selepas mendapat hantaran Mahali Jasuli.
No comments:
Post a Comment