KUALA LUMPUR - Walaupun tidak secara langsung, penghargaan wajar turut ditujukan kepada jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee ekoran kejayaan Malaysia ke separuh akhir Piala Suzuki AFF selepas menumpaskan Indonesia 2-0, kelmarin.
Hasil didikan Kim Swee kepada Mahalli Jasuli dan Wan Zack Haikal Wan Nor dalam skuad belia negara sejak Kelayakan Olimpik tahun lalu hingga Liga Singapura musim ini, mereka merencanakan gerakan kedua-dua gol skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.
Kata pengulas sukan TV Astro Arena, Azlan Johar, keseluruhan pasukan negara berhak dikalungkan tahniah dengan kejayaan ke separuh akhir selepas dikritik hebat kerana dikalahkan Singapura 3-0 tetapi cara kedua-dua gol yang melibatkan Mahalli itu cukup mengagumkannya.
"Kematangan (umpanan gol pertama) Mahalli dan Wan Zack Haikal (gol kedua) terserlah. Inilah hasil didikan Kim Swee dalam Harimau Muda A. Faktor persefahaman dan ketenangan kedua-dua pemain turut membantu mereka," katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Azlan turut tertarik dengan prestasi permainan Wan Zack Haikal yang kian meningkat malah anak jati Maran, Pahang ini cukup tenang di sebalik usianya yang masih muda selain terkejut dengan kemampuan Azammuddin Mohd. Akil membuka tirai gol Malaysia pada minit ke-26.
"Kita mungkin bimbang apabila tiba-tiba hilang tonggak seperti S. Kunanlan dan Khyril Muhymeen Zambri dalam kesebelasan utama tetapi semuanya terhakis apabila pengganti mereka seperti Alex (Azammuddin) berjaya membalas kepercayaan pasukan dengan gol yang tidak disangka-sangka," katanya.
Menurut Azlan, kehilangan Mohd. Shakir Shaari pada babak pertama kerana kecederaan, juga berjaya ditampung dengan kepintaran jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal yang memasukkan dua pemain tengah bertahan, Gary Steven Robbat dan Amar Rohidan.
"Saya rasa tidak salah apabila pasukan kita lebih bertahan dalam babak kedua kerana sekiranya Indonesia merapatkan satu gol, semangat mereka akan kembali menyala dan pasukan kita pula yang bakal tertekan," kata pemain negara era 80-an hingga 90-an ini.
No comments:
Post a Comment