Monday, February 25, 2013

Bincang kontrak di Laos

Sumber: Metro Online
 
Kuala Lumpur: Perbincangan kontrak pemain Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Zakaria dengan kelab Jepun, Ryukyu FC tetap diteruskan meskipun dua pemain itu kini memiliki tugasan antarabangsa bersama skuad bawah 23 tahun negara (B-23) di Vientiane, Laos.

Pertemuan dengan wakil Ryukyu FC itu sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur namun skuad B-23 berlepas ke Vientiane semalam selepas menerima jemputan saat akhir daripada skuad kebangsaan Laos bagi perlawanan persahabatan Rabu ini.

Menurut jurulatih negara Ong Kim Swee, wakil kelab divisyen tiga itu bersetuju mengadakan perbincangan di Laos dalam masa yang sama memberi peluang mereka melihat aksi Wan Zack Haikal dan Zaharulnizam pada perlawanan itu.

“Wakil kelab itu bersetuju untuk pergi ke Laos bagi membincangkan tawaran kontrak kepada pemain saya. Masalah ini tidak dapat dielakkan kerana kami mendapat jemputan saat akhir daripada Laos untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

“Mereka memahami dan bersetuju untuk datang ke Laos, ini menunjukkan kesungguhan mereka untuk membincangkan isu kontrak ini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Ryukyu, kelab yang berpangkalan di Okinawa, menjadikan Wan Zack Haikal dan Zaharulnizam sebagai sasaran mereka apabila terpikat dengan aksi yang ditunjukkan pemain sayap itu selepas menjalani ujian percubaan Jun tahun lalu.
Pengurusan kelab itu menganggap kehadiran dua pemain itu dapat membantu misi mereka untuk melayakkan diri ke divisyen dua Liga Jepun dalam tempoh tiga tahun lagi.

Bagaimanapun Kim Swee masih mahu meneliti kontrak yang ditawarkan bagi memastikan kedua-dua pemain itu dapat dilepaskan bagi tugasan antarabangsa skuad B-23 khususnya bagi misi mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Myanmar hujung tahun ini.
Sementara itu skuad B-23 bakal mengharungi perlawanan kedua menentang Laos selepas seri 0-0 menentang Myanmar pada aksi persahabatan di Yangon, Jumaat lalu.

“Pemain menunjukkan aksi yang baik mengikat skuad senior Myanmar tapi saya mahu mereka tidak cepat berpuas hati. Saya mahu semua pemain terus mempamerkan peningkatan ketika menentang Laos,” jelas Kim Swee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...