Thursday, February 21, 2013

Kelantan didenda lagi

Sumber: Utusan Online
 
KUALA LUMPUR - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) didenda RM 62,500 oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gara-gara kekecohan semasa perlawanan menentang Johor Darul Takzim di Kota Bharu 15 Januari lalu.

Atas dakwaan kerana gagal mengawal ciri-ciri keselamatan semasa perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Ednan Othman, mendapati KAFA bersalah untuk empat pertuduhan.


"Kes pertama adalah insiden membaling mercun di dalam padang dan setelah meneliti bukti yang kita ada serta laporan pengawai pertandingan, denda RM 20,000 dikenakan manakala kesalahan kedua adalah kerana melontar objek yang membawa denda sebanyak RM2,500.

"Kemudian, Jawatankuasa Tatatertib juga mendapati tuan rumah bersalah kerana penyokong Kelantan telah melontar objek kepada penyokong Johor yang membawa denda RM20,000.

"Bagi kesalahan terakhir, kerana gagal memastikan ciri-ciri keselamatan semasa perlawanan itu, KAFA didenda RM20,000 dan secara keseluruhan bagi keempat-empat kesalahan adalah sebanyak RM62,500," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM di sini, semalam.

Malah, KAFA turut diberi amaran terakhir bahawa mereka pasukan Kelantan mungkin terpaksa bermain dalam suasana stadium yang kosong di Kota Bharu jika masalah sama terus berlaku pada perlawanan-perlawanan akan datang.

"Jawatankuasa Tatatertib akan perhatikan tahap keselamatan pada perlawanan akan datang dengan hadir ke sana dan jika insiden sama berlaku sekali lagi, kami tidak teragak-agak mengarahkan perlawanan di Kota Bharu tanpa sebarang penonton di dalam stadium," katanya.

Kali terakhir KAFA didenda ialah pada perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang, 28 Ogos tahun lalu dengan jumlah RM40,000.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...