Tuesday, February 12, 2013

‘Tiada layanan istimewa’

Sumber: Metro Online
 
Kuala Lumpur: Tiada ‘layanan istimewa’ akan diberikan oleh jurulatih Ong Kim Swee kepada Muhamad Nazmi Faiz Mansor sebaliknya pemain muda berbakat yang membuat keputusan mengejut pulang ke tanah air dari Portugal untuk menyarung jersi PKNS FC itu perlu berada pada prestasi terbaik jika mahu berada dalam skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Sea Myanmar hujung tahun ini.

Sikap ‘tidak pilih bulu’ pengendali negara itu pastinya satu cabaran buat Nazmi, 19, yang terpaksa menunggu sehingga April ini untuk membuat penampilan bersama pasukan Liga Super itu selepas meninggalkan kelab SC Beira-Mar.

Kim Swee berkata, prestasi Nazmi akan dinilai sama seperti pemain luar yang tidak mewakili Harimau Muda A dan buat masa ini tiada perancangan untuk menyenaraikan pemain tengah itu bersama skuadnya bagi perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Myanmar di Yangon, 22 Februari ini dan ke Slovakia selama lima bulan bermula 15 Mac depan.


“Buat masa ini, Nazmi tiada dalam perancangan ke Yangon dan Slovakia kerana saya difahamkan statusnya kini sedang dirujuk oleh Jawatankuasa Status FAM. 

“Dia sekarang sudah menjadi hak milik kelab PKNS, jadi segala keputusan perlu merujuk kepada PKNS terlebih dulu kerana dia bukan pemain Harimau Muda. Bagi saya mudah, jika dia mempamerkan permainan yang baik, sudah pasti saya akan memanggilnya untuk menyertai skuad ke Sukan Sea.

“Tapi untuk mendapat penilaian itu, dia haruslah beraksi dalam kesebelasan utama pasukannya setiap minggu, sama dengan pemain luar yang lain seperti K Reuben (ATM), Nik Shahrul Azim Abd Halim (Kelantan) dan Zubir Azmi (Terengganu). Saya tidak akan memberikan layanan istimewa kepada mana-mana pemain, semua pemain akan dinilai berdasarkan prestasi semasa,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Nazmi yang mengikat kontrak tiga tahun bersama PKNS tidak dibenarkan beraksi apabila kempen Liga Super kembali bersambung Jumaat ini selepas permohonan pihak pengurusan kelabnya ditolak oleh FAM.

Buat masa ini pemain kelahiran Kuala Lumpur yang menjadi tonggak skuad B-23 negara mempertahankan pingat emas Sukan Sea Jakarta 2011 itu hanya menjalani latihan bersama PKNS di bawah kendalian Abdul Rahman Ibrahim sehingga jendela perpindahan pemain dibuka pada April depan.

Dalam pada itu, skuad Harimau Muda A akan kembali menyambung latihan hari ini selepas diberikan cuti lima hari selepas pulang dari Australia Khamis lalu bagi persiapan menghadapi Myanmar


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...