Sumber: Metro online
Arau: “Dia (Setiausaha FAM, Datuk Azzuddin Ahmad) siapa? Berapa ramai
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dalam FAM? Saya tak kisah, jika dia
masih nak teruskan siasatan, biaq pi kat dia (biarkan dia).”
Demikian reaksi Datuk Seri Shahidan Kassim berhubung kenyataan
Azzuddin yang Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu tetap tidak
akan terlepas daripada hukuman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
meskipun meletakkan jawatan dalam dua jawatankuasa kecil badan induk
itu.
Pada masa sama, Shahidan turut mempersoalkan ‘kewujudan’ beberapa badan disiplin dalam FAM apabila ramai individu mahu mengambil tindakan ke atasnya.
“Jika mereka mahu teruskan siasatan, sila teruskan dan jika tindakan
itu boleh menaikkan imej FAM serta kualiti bola sepak Malaysia, saya
reda kerana saya sentiasa berfikiran positif.
“Saya tiada kuasa menghalang mereka melakukan siasatan. Jika itu yang mereka mahu, saya tidak kisah disiasat dan biar rakyat serta peminat bola sepak menilai sendiri tindakan yang mereka (FAM) ambil,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Shahidan berkata, beliau tidak mahu bersengketa dengan FAM kerana menganggap badan induk itu organisasi yang kuat.
“Saya bukan penjenayah hingga ada individu bertindak menghantar surat
kepada saya dan mahukan hukuman dikenakan. Pendirian saya tetap sama,
saya sokong Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan tidak pernah putus
menyokong kepimpinannya.” Menurutnya, perkara paling penting yang perlu
diutamakan dalam FAM adalah isu menjual perlawanan oleh individu tidak
bertanggungjawab dan bukan soal Artikel 88 mengenai tindakan dikenakan
ke atas dirinya.
“Saya berdepan masalah pembayaran gaji pemain dan perkara itu saya panjangkan kepada FAM, namun tiada bantuan diberikan, sebaliknya mereka mahu mengambil tindakan ke atas saya kerana lantang memohon bantuan.
“Mereka (FAM) tidak peduli masalah pengurusan PFA tapi hanya tahu
mengambil tindakan sedangkan saya hanya memohon bantuan,” katanya sambil
menekankan rakyat kini pandai menilai apa yang dilakukan FAM.
Katanya, sewaktu perlawanan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertemu Kelantan tempoh hari, orang ramai dapat menyaksikan sendiri bagaimana penonton mencemuh apabila nama individu tertentu diumum melalui pembesar suara.
“Itu salah satu bukti rakyat kini menilai tingkah laku kita dan saya hanya mewakili peminat yang mahukan bola sepak negara kembali mengalami zaman kegemilangan dan bukan sebaliknya.
“Saya mempertahankan FAM namun saya dikenakan tindakan disiplin. Walaupun sudah meletak dua jawatan dalam FAM, mereka masih mahu mengambil tindakan ke atas saya.” Justeru, beliau minta FAM supaya mengambil kira sumbangannya terhadap badan induk itu, antaranya dalam bentuk kewangan sejak empat hingga lima tahun lalu.
No comments:
Post a Comment